Insiden pangsapuri terbakar di Perancis ragut 7 nyawa
SAINT-LAURENT-DE-LA-SALANQUE : Tragedi letupan kuat yang berlaku di barat daya Perancis telah mengakibatkan tujuk maut termasuk dua kanak-kanak dalam kebakaran.
Beberapa bangunan di pekan St Laurent-de-la-Salanque, turut musnah dijilat api dalam kejadian yang terjadi pada waktu petang semalam yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Perpignan.
Punca kejadian masih belum diketahui dan usaha mencari mangsa masih sedang giat dijalankan di dua blok pangsapuri.
Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin memberitahu, tujuh mangsa didapati maut setakat ini namun kerja-kerja pencarian masih dijalankan oleh pasukan kecemasan.
“Pendakwa raya ketika ini tidak mempunyai maklumat bagi menentukan kejadian tersebut disengajakan atau sebaliknya,” katanya.
Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan susulan letupan di sebuah premis komersial di wilayah Pyrenees-Orientales yang menyebabkan kebakaran di unit perumahan di atas premis berkenaan.
Dalam pada itu, seramai 20 individu lain turut dilaporkan cedera dalam insiden itu.
– AGENSI