Inilah golongan yang sentiasa mendapat doa para malaikat

Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
Fitrah manusia ini diwujudkan dengan kelemahan dan keterbatasan kemampuan. Jadi banyak perkara yang kita hadapi memerlukan bantuan dan sokongan daripada Yang Maha Kuasa.
Allah SWT memerintahkan setiap daripada hamba-hambanya bergantung harap, bantuan, dan petunjuk daripadaNya menerusi doa. Semua orang tahu bahawa doa adalah ibadah dan senjata Mukmin.
Doa menunjukkan kelemahan hamba yang memerlukan pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT dalam menghadapi rintangan dan cabaran kehidupan. Selain daripada doa dari diri sendiri, manusia sebenarnya berharap syafaat Rasulullah dan doa malaikat untuk terus berjaya di dunia dan akhirat.
Jadi pada artikel kali ini, penulis ingin kongsikan 7 golongan yang mendapat doa daripada malaikat, semoga kita menjadi antaran golongan-golongan yang mendapat doa para malaikat.
Pertama, orang yang selalu mengajarkan kebaikan kepada sesama manusia. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi dari Abi Amamah, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah, malaikatNya, penghuni langit dan bumi bahkan semut yang berada di sarangnya juga ikan-ikan akan selalu mendoakan kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”
Kedua adalah orang yang datang awal ke masjid, jaga wuduk dan menunggu untuk solat berjemaah. Malaikat akan mendoakan mereka berdasarkan kepada hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya malaikat mendoakan orang yang berada di tempat duduknya (untuk menunggu datangnya solat berjemaah) selama belum berhadas (batal wuduk) dan malaikat berdoa; “Ya Allah, ampunilah segala dosanya, ya Allah sayangilah dia.”
Ketiga adalah mereka yang memburu dan menempatkan diri di saf hadapan. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah bersama malaikat mendoakan kepada orang-orang yang solat di saf pertama.” (HR Abu Daud).
Seterusnya, orang yang menjaga saf atau merapatkan saf. Jadi kalau solat berjemaah itu pastikan kita merapatkan saf kerana akan didoakan oleh malaikat berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya Allah dan malaikat Nya mendoakan orang-orang yang merapatkan barisan solat. Sesiapa yang menutup (merapatkan) barisan yang renggang, maka Allah akan mengangkat darjatnya.” (HR Ibnu Majah).
Selain itu, orang yang sentiasa berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Mereka ini akan didoakan oleh malaikat berdasarkan sabda nabi SAW:
“Kalau orang berselawat kepada ku maka malaikat juga akan mendoakan keselamatan yang sama baginya untuk itu hendaknya dilakukan , meski sedikit atau banyak.” HR Ibnu Majah dan Thabrani.
Ketujuh adalah malaikat akan mendoakan mereka yang menjenguk dan mengunjungi orang sakit berdasarkan sabda Rasulullah:
“Tidak ada seorang lelaki pun yang menjenguk atau mengunjungi orang sakit pada petang hari kecuali ia disertai oleh 70,000 malaikat yang memohonkan keampunan atas dosa-dosanya sehingga waktu pagi tiba, dan ia akan diberi musim yang sejuk kelak di hari kiamat. Dan sesiapa yang menjenguk orang sakit pada pagi hari maka ia akan diiringi 70,000 yang memohonkan ampun atas segala dosanya sehingga waktu petang tiba dan kelak di syurga ia akan diberi musim yang sangat sejuk.” (HR Abu Daud).