LONDON: Rakyat Britain yang melanggar perintah berkurung berdepan tindakan tegas termasuk denda serta merta.
Britain memasuki fasa yang paling mencabar sejak bermulanya wabak Covid-19, kata seorang pegawai atasan pada hari Isnin, ketika hospital menghadapi masalah kesesakan disebabkan mereka yang dijangkiti Covid-19.
Untuk rekod, Britain menunjukkan peningkatan kes yang drastik akibat pandemik Covid-19 dengan mencatatkan 1,243 kes kematian setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu 83,203 orang.
Pada 12 Januari, Britain mencatatkan 45,533 kes sehari dengan jumlah mereka yang dijangkiti Covid-19 ini melebihi tiga juta orang.
Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel berkata, polis sudah mengeluarkan 45,000 denda serta merta kepada individu yang gagal mematuhi peraturan perintah berkurung.
“Kita jangka lebih banyak tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa kerana kurangnya pematuhan peraturan dan meningkatnya kes jangkitan Covid-19.”
“Pesanan saya kepada sesiapa yang enggan melakukan perkara yang betul (mematuhi peraturan perintah berkurung) dan tidak memainkan peranan anda maka pegawai polis yang sedang mempertaruhkan nyawa mereka akan bertindak.
“Dan saya akan menyokong mereka (polis),” katanya pada sidang media Downing Street, di sini, semalam.
Patel berkata, saranan kerajaan untuk orang ramai terus duduk di rumah bermakna tidak meninggalkan kawasan masing-masing dan keluar tanpa urusan penting.
Beliau juga berkata, larangan semasa yang dikuat kuasakan kerajaan ketika ini cukup ketat.
“Peraturan yang dikuat kuasakan sudah cukup ketat. Jadinya, kita minta masyarakat terus patuh kepada peraturan. Lebih ramai yang ikut arahan, lebih cepat kita dapat menurunkan jumlah jangkitan,” – Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel
Patel pada masa sama turut berterima kasih kepada peniaga pasar raya yang mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka sebelum memasuki kedai.
Britain menderita lebih banyak kematian akibat wabak ini daripada negara Eropah yang lain dan menjadi negara kelima di dunia yang mencapai kes tertinggi.
England kini dalam fasa sangat mencabar ketika negara itu berdepan tekanan untuk menghentikan peningkatan drastik penularan Covid-19.
Britain telah melangkah lebih awal untuk mendapatkan vaksin Covid-19 pada hari Isnin lalu, dan 13 juta rakyat negara itu bakal disuntik vaksin menjelang 15 Februari ini.
Sebahagian besar program ini akan dikendalikan oleh pusat vaksin di seluruh negara, dan pasukan sukarelawan yang telah dilatih untuk menguruskan vaksin.
-Muhammad Haiqal Nor Wahid