RIYADH : Kuota bagi jemaah yang bakal menunaikan Haji di Tanah Suci Mekah pada tahun ini telah diluluskan oleh pihak kerajaan Arab Saudi melibatkan semua negara.
Menurut Saudi Gazette yang memetik sumber tempatan, kuota haji paling tinggi diperuntukkan kepada Indonesia yang memiliki penduduk Islam paling ramai dengan jumlah 100,051 jemaah.
Pakistan berada di tempat kedua dengan kuota haji diperuntukkan seramai 81,132 jemaah, diikuti dengan India seramai 79,237 jemaah.
“Bangladesh akan menghantar jemaah haji keempat terbesar dengan kuota 57,585,” jelas sumber itu.
Manakala Afrika pula, Angola berada di bahagian bawah senarai dengan jumlah paling rendah iaitu 23 jemaah.
Di antara negara-negara Afrika, Nigeria mendapat bahagian terbesar iaitu seramai 43,008 jemaah.
Bagi negara Arab pula, Mesir mendahului dengan 35,375 jemaah haji manakala kuota diperuntukkan untuk Iran seramai 38,481 dan Turki (37,770 jemaah).
Dalam pada itu, kuota haji diperuntukkan untuk Amerika Syarikat (AS) adalah seramai 9,504 manakala Rusia (11,318), China (9,190), Thailand (5,885) dan Ukraine (91).