Indonesia benarkan 419 jemaah tunaikan umrah
JAKARTA : Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia membenarkan 419 jemaah menunaikan umrah, jumlah tertinggi dalam tempoh dua tahun sejak wabak Covid-19 menular ke seluruh dunia.
“Semoga Allah merahmati kita untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada jemaah umrah dan negara,” kata Ketua Pengarah Haji dan Umrah Kementerian Hal Ehwal Agama, Hilman Latief, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, menurut agensi berita Antara.
Menurutnya, kerajaan pada asalnya bercadang menerbangkan jemaah umrah pada Disember 2021, tetapi terpaksa menangguhkannya berikutan situasi Covid-19 di negara itu.
Kumpulan pertama jemaah umrah yang menyertai tahun ini diingatkan oleh Latief supaya mematuhi peraturan pencegahan penularan Covid-19 semasa berada di negara atau di Arab Saudi.
“Sentiasa bertanggungjawab atas kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan Indonesia dan Arab Saudi kepada anda. Tunjukkan bahawa jemaah umrah Indonesia mematuhi syarat-syarat tersebut, terutamanya dalam hal langkah berjaga-jaga kesihatan. Perlu diingat bahawa wabak Covid-19 masih belum berakhir,” tambahnya.
Latief berkata kumpulannya kini sedang menyediakan peraturan mengerjakan umrah semasa pandemik, termasuk isu sistem integrasi kerajaan Arab Saudi.
“Kami akan menyemak semula sama ada kriteria kesihatan kedua-dua negara dipenuhi, terutamanya dari segi sijil imunisasi, ujian kesihatan, kuarantin, dan saringan kesihatan untuk jemaah,” katanya.
Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Pasukan Petugas Covid-19, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang, dan Agensi Mitigasi Bencana Negara bekerjasama untuk mempersiapkan keberangkatan jemaah umrah (BNPB).
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM