
KUALA LUMPUR : Risiko untuk dijangkiti Covid-19 dalam kategori empat dan lima lebih tinggi bagi individu yang tidak divaksin tanpa mengenal usia serta boleh berdepan dengan kematian akibat jangkitan virus berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, perkara itu dibuktikan melalui data yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh 26 Januari hingga 22 Februari berkenaan kes Covid-19 kategori empat dan lima serta data kematian akibat pandemik itu bagi setiap 100,000 populasi.
“Ini dapat dilihat pada carta KKM dan hampir semua kumpulan umur,” katanya dalam kenyataan yang turut memuatkan carta yang menunjukkan kes Covid-19 kategori empat dan lima serta kematian bagi setiap 100,000 penduduk.
Mengulas lanjut, kumpulan individu yang paling terlindung daripada pandemik tersebut adalah mereka yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.
“Dapat dilihat jumlah kes yang lebih rendah dijangkiti Covid-19 yang serius (kategori tiga, empat dan lima) dan juga kematian dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya,
Tambah Dr Noor Hisham, vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius Covid-19.
-Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA