Individu pernah dijangkiti Covid-19 masih berisiko dijangkiti Omicron
JOHANNESBURG : Meskipun seseorang individu itu pernah dijangkiti varian Covid-19 dan sudah mendapatkan suntikan dos vaksin, ia tidak bermakna anda kebal dari serangan Omicron.
Pakar dari Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Anne von Gottberg, penyakit yang lebih serius atau mengurangkan risiko kematian masih dapat dihindari menerusi inokulasi terhadap yang dijangkiti coronavirus.
“Kami percaya jangkitan sebelum ini tidak akan memberi perlindungan dari Omicron, malah berdasarkan penyelidikan awal mengenai varian baharu COVID-19 itu, wujud peningkatan risiko jangkitan semula Omicron.
“Trend sama turut dilihat dalam model yang menyasarkan kes terhadap penduduk secara keseluruhan dan kami percaya angka kes akan meningkat secara pantas di semua wilayah serta negara.
“Bagaimanapun, kami percaya vaksin sentiasa memberi perlindungan terhadap penyakit yang serius, kemasukan ke hospital dan kematian,” katanya.
Varian baharu Covid-19 yang pertama kali dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seminggu lalu ‘muncul’ di seluruh rantau berkenaan.
Menurut seorang lagi pakar, Ambrose Talisuna, setakat ini Omicron sudah pun menular di hampir puluhan negara dan puncanya masih tidak jelas.
Pada pertengahan November lalu, Afrika Selatan dilapor merekodkan sekitar 300 kes sehari tetapi semalam, negara itu merekodkan 8,561 kes baharu berbanding 4,373 pada hari sebelumnya dan 2,273 pada Isnin lalu.
– AGENSI