Iklan pakej umrah perlu kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan bermula 1 Februari
KUALA LUMPUR : Pengendali pelancongan berlesen atau mana-mana syarikat pengendali umrah perlu mendapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Pelancongan bagi mengiklankan tawaran pakej bermula 1 Februari tahun tahun hadapan
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan arahan itu adalah sebagai langkah mengenal pasti iklan haram pakej umrah mengikut Peraturan 6(1A) (a), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
Tambahnya, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) dipengerusikan Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri yang turut disertai wakil Kementerian Luar Negeri; Jabatan Imigresen Malaysia; Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji; Lembaga Tabung Haji; Polis Diraja Malaysia; persatuan-persatuan pengendali umrah dan agensi lain yang berkaitan.
“Denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap mana-mana syarikat pengendali umrah yang mengiklankan pakej umrah tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan,” menurutnya.
Kenyataan itu turut memaklumkan setiap iklan umrah yang diluluskan akan diberi nombor siri khas yang perlu dipaparkan dan borang permohonan boleh dimuat turun di www.motac.gov.my.
– BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar