SemasaSyariah

Ikat kain pelikat sebab longgar boleh batalkan solat

Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today

Pemakaian kain pelikat ketika solat bukanlah satu perkara asing buat masyarakat di Malaysia. Namun pernah atau tidak ketika kita solat kain tetiba longgar sehingga nak tertanggal?

Jadi boleh ke kita membetulkan dan mengetatkan ikatan kait pelikat tersebut ketika sedang solat?

Berdasarkan kepada jawapan ringkas yang dimuat naik di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa perbuatan tersebut merupakan tindakan yang termasuk dalam pergerakan yang banyak.

Sekiranya seseorang yang melakukannya melibatkan tiga pergerakan secara berturut-turut, maka solatnya akan batal.

Oleh itu, seseorang hendaklah mengelakkan diri mereka daripada melakukan perkara tersebut jika ia tidak menganggu solatnya.

Jika ia menggangu solat, maka hendaklah melakukannya dengan dua pergerak atau tiga pergerakan secara berasingan agar tidak membatalkan solat.

Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:

Maksudnya: Jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan dalam solatnya yang bukan daripadanya daripada jenis perbuatan solat (seperti menambah rukuk atau sujud dengan sengaja), maka batal solatnya kecuali jika dia terlupa. Namun jika bukan daripada jenis perbuatan solat maka batal sekiranya perbuatan itu melibatkan pergerakan yang banyak, manakala pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat. (Rujuk Minhaj al-Talibin, 1:32)

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam menentukan sama ada perbuatan tersebut dikira banyak atau sedikit ialah apabila ia melibatkan tiga kali pergerakan secara berturut-turut maka ia dikira sebagai pergerakan yang banyak.

Adapun jika kurang daripada tiga kali pergerakan atau lebih tetapi secara berasingan, maka ia dikira sebagai pergerakan yang sedikit.

Oleh itu, dalam masalah atau isu ini, kita digalakkan untuk mengikat dan mengetatkan kain pelikat sebelum solat.

Dan sekiranya ketika sedang solat kain pelikat longgar sehingga menganggu solat maka hendaklah kita mengikatnya dengan pergerakan yang sedikit dan berasingan.

Related Articles

Back to top button