‘Ihya Ramadan’ isi kerohanian menjelang penghujung Ramadan
NILAI : Bersempena 10 akhir Ramadan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Masjid Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong Putra Nilai, Negeri Sembilan dan Charity Care Malaysia (C.C.M) menganjurkan Program Ihya Ramadan, hari ini.
Menurut Penasihat Syariah MAPIM Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff program Ihya Ramadan ini diadakan bagi mewujudkan hubungan antara MAPIM dan masyarakat sekali gus mengalakkan masyarakat mengejar malam Al-Qadr.
“Program ini juga merupakan salah satu usaha untuk kenalkan masyarakat betapa pentingnya infak dan melakukan beberapa persediaan untuk kita meraih anugerah daripada Allah SWT,” katanya.
Program Ihya Ramadan ini bergerak berlandaskan hadis “Khoirunnas Anfaahum Linnas” yang bermaksud sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.
Program ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti kerohanian bermula selepas solat subuh sehingga 10:30 malam.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Kuliah Subuh oleh Penasihat Syariah MAPIM Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff dan tazkirah tarawih oleh Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Selain itu, turut disediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma dengan kehadiran salah satu aset MAPIM Malaysia iaitu klinik bergerak atau ‘Mobile Clinic’.
Program turut dimeriahkan dengan penyediaan juadah makanan panas untuk berbuka puasa sebanyak 200 pek oleh ‘Mobile Kitchen MAPIM Malaysia’ berserta edaran bubur lambuk oleh C.C.M.
Pada masa sama, Dr. Mohd Izhar Ariff menggalakkan orang ramai untuk hadir bersama bagi mengimarahkan majlis Ihya Ramadan yang akan bersambung di Dataran Putrajaya, hari ini.
“Saya mengajak semua umat Islam yang berkelapangan untuk berbuka di dataran Putrajaya dan ayuh kita berbuka puasa beramai-ramai sambil memperoleh kelebihan dan barakah Ramadan.” ujarnya.