Idris saran stesen televisyen, syarikat produksi wujudkan Jabatan Pematuhan Syariah
PUTRAJAYA : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyarankan stesen televisyen dan syarikat produksi untuk mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah.
Idris dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook berkata ia bertujuan untuk menyemak, menapis, memantau semua skrip dan kandungan sebelum ia disiarkan.
Menurutnya, isu moral yang dibina untuk masyarakat Malaysia, khususnya membabitkan anak muda perlu dititikberatkan dalam dunia penyiaran.
“Berdasarkan maklum balas dan pendapat yang saya terima dari pemain industri, masih ramai yang mahukan rancangan yang berunsur Islamik, bertepatan dengan syariat agama
“Kita semua perlu menentang karya seni atau program yang cuba menormalisasikan budaya yang bercanggah dengan syariat Islam dan nilai akhlak serta budaya masyarakat negara ini,” menurut hantaran tersebut.
Tambahnya lagi, hiburan yang disiarkan kepada masyarakat seharusnya bertepatan dan berlandaskan agama serta syariat Islam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menubuhkan Pusat Penyelidikan Hadis bagi membuat kajian dan rujukan dengan tujuan mengelakkan masyarakat terjebak penyebaran hadis palsu.
“JAKIM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak industri dan sudah menerbitkan tiga garis panduan untuk rujukan semua pihak. Kita tidak mahu masyarakat terus terjebak dengan penyebaran hadis palsu.
“Semoga pertemuan dan perbincangan ini dapat memberi nafas baharu kepada dunia penyiaran negara, terutama dalam penerapan nilai agama dan kandungan yang bertepatan dengan syariat,” katanya.