KemanusiaanPalestinSemasa

ICC siasat jenayah Israel

Jenayah yang didakwa telah dilakukan sejak 13 Jun 2014

BAITULMUQADDIS : Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague untuk menyiasat dakwaan jenayah yang dilakukan oleh Israel di wilayahnya disambut baik Palestin.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, berkata negaranya menyambut baik keputusan ICC untuk ‘meneruskan penyiasatan jenayah Israel dalam langkah yang telah lama ditunggu untuk mencapai keadilan bagi rakyat Palestin’.

“Kami berharap usaha serius di peringkat antarabangsa dapat memberikan keadilan kepada mangsa Palestin,”  – Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki

Sementara itu, gerakan Islam Hamas juga memuji keputusan ICC.

Jurucakap Hamas di Semenanjung Gaza, Hazem Qassem, dalam satu kenyataan media menerusi emel berkata, Hamas menyambut baik keputusan pendakwa raya ICC untuk membuka siasatan terhadap jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Keputusan itu adalah langkah ke hadapan untuk menghukum pemimpin penjajahan (Israel) yang melakukan kejahatan perang terhadap rakyat kami,” – Jurucakap Hamas di Semenanjung Gaza, Hazem Qassem

“Hamas meminta ICC supaya menolak sebarang tekanan yang berkemungkinan menghalangnya daripada mencari jalan penyelesaian untuk mencapai keadilan dan menerapkan undang-undang antarabangsa,” katanya.

3 Mac lalu, Ketua Pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda, mengumumkan beliau sedang melancarkan siasatan terhadap tuduhan jenayah yang dilakukan oleh Israel di wilayah Palestin.

“Siasatan akan merangkumi jenayah dalam bidang kuasa mahkamah yang didakwa telah dilakukan dalam situasi terbabit sejak 13 Jun 2014, tarikh di mana rujukan dibuat ke pejabat saya,”- Ketua Pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda

Beliau menambah, siasatan akan dilakukan ‘secara bebas, tidak berat sebelah dan objektif tanpa rasa takut atau pilih kasih’.

Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kelmarin bagaimanapun mengecam penyiasatan jenayah perang ICC terhadap dasar Israel di wilayah Palestin, menuduh mahkamah ‘hipokrit dan anti-Semitisme’ serta bersumpah untuk ‘memperjuangkan kebenaran’.

Pada 2019, Bensouda menyatakan ada ‘dasar yang munasabah’ untuk membuka siasatan jenayah perang terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza dan juga aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki.

ICC mempunyai kuasa untuk menghukum mana-mana pihak yang dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah hak asasi manusia dan perang di semua negara yang tersenarai dalam perjanjian Statut Rom.

Dalam satu kenyataan, Bensouda menjelaskan pihaknya mempunyai asas yang munasabah untuk memulakan siasatan di Palestin.

Beliau memberitahu pemeriksaan awal telah dilakukan dengan teliti selama hampir lima tahun dan berjanji siasatan akan dilakukan secara bebas, tidak berat sebelah dan tanpa rasa takut.

“Kami tidak mempunyai agenda lain dan akan melakukan siasatan dengan penuh integriti,” katanya.

Beliau juga menekankan siasatan tersebut akan mengutamakan mangsa jenayah perang, sama ada di Palestin mahupun di Israel. – AGENSI

 

 

Related Articles

Back to top button