Johor Bahru : Hanya kurang 30 minit bagi memasuki kota maju Singapura yang menjanjikan pendapatan lumayan. Ia memberi harapan kepada pencari rezeki untuk berhijrah ke Johor Bahru yang berhampiran Singapura bagi meraih pendapatan tiga kali ganda berbanding Malaysia. Sekiranya tidak dapat ke Singapura, Johor Bahru itu sendiri sudah mampu menjanjikan pendapatan yang menarik. Tidak salah untuk memasang harapan.
Itulah harapan yang diimpikan oleh keluarga Juli binti Abdullah, 39 tahun yang telah berhijrah lebih 20 tahun dahulu bersama ibunya dari Tanah Merah, Kelantan.
Temujanji bersama Juli ditetapkan selepas waktu Asar dengan bantuan Noorul Syahadah Binti Isam selaku wakil sukarelawan MAPIM di Johor. Juli telah memesan bungkusan nasi daripada kami untuk anak-anaknya kerana tiada kesempatan, dan juga kerana kesempitan hidup.
Namun atas kekangan masa, beliau hanya dapat ditemuramah pada sebelah malam. Juli sendiri belum sempat mengisi perut kerana sibuk menguruskan anak perempuan beliau yang sedang menjalani rawatan perubatan.
Menceritakan pengalamannya, Juli pernah bekerja di Singapura sebagai pembantu kedai. Namun setelah berkahwin dan mempunyai anak, beliau berhenti bekerja di Singapura demi menjaga anaknya. Perkahwinan Juli tidaklah seindah yang diimpikan. Suami Juli terjebak dengan najis dadah dan beliau bercerai empat tahun lalu.
Johor Bahru adalah bandaraya yang maju, tetapi kemajuan itu datang bersama dengan kos hidup yang tinggi. Ramai penghuninya yang berjaya meraih mimpi di kota ini, dan ada juga yang kecundang. Antara penghuninya adalah keluarga Juli, yang hanya mampu menjadi asnaf yang daif.
Beban yang ditanggung oleh ibu tunggal ini sangat berat. Beliau memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa bagi sembilan orang anaknya. Wanita bertubuh halus dan berjiwa besi ini mempunyai anak dari umur 19 tahun hingga sekecil 4 tahun.
Penulis kagum dengan semangat beliau mengurus lima orang anak lelaki yang masih kecil dengan jadual harian yang padat. Bagi meneruskan hidup, Juli berniaga kecil-kecilan menjual sabun cucian dobi dan mendapat komisyen tidak sampai RM20 sehari. Pendapatan beliau dalam anggaran RM600 sebulan memang tidak mencukupi untuk menyara lima orang anak yang masih kecil.
Melihat ke dalam rumah kediamannya, penulis sangat terkejut! Pemandangan yang tidak masuk akal, dan tidak menyangka keadaan seperti itu dapat dilihat di tanah air sendiri. Kediamannya berupa pondok khemah, yang biasa dilihat di kaca televisyen, sama seperti tempat perlindungan pelarian di Syria ataupun Rohingya. Mungkin lebih teruk lagi.
Apabila menjenguk ke pondok beliau, penulis hanya mampu melangkah sampai ke pintu pondok tanpa menanggalkan kasut kerana pondoknya berlopakkan air. Air hujan melimpah masuk disebabkan bumbung kanvasnya bocor.
Di lopak air itulah, anak-beranak itu tidur dengan tilam dan bantal yang lembap.
Di dalam pondok kecil itu juga terdapat sudut dapur dan tempat belajar. Situasi kehidupan keluarga ini sangat memilukan. Mereka telah mendiami pondok usang ini selama tiga tahun. Menurut anak Juli, tidur dikelilingi tikus-tikus adalah kebiasaan dan pernah juga didatangi oleh ular tedung, kerana di belakang pondok ini terdapat semak belukar.
Sebelum berpindah ke pondok ini, Kerajaan Johor melalui Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) telah membantu Juli sekeluarga dengan menyediakan tempat tinggal yang selesa di Projek Perumahan Rakyat (PPR). Namun setelah bercerai, Juli melarikan diri daripada bekas suami yang ketika itu sudah terjebak dengan najis dadah. Untuk Juli, tinggal di pondok daif ini adalah lebih membahagiakan berbanding tinggal bersama bekas suaminya.
Perkara itu menimbulkan masalah kepada Juli kerana pendaftaran bantuan adalah atas nama bekas suami, namun dengan kecekapan pihak JAIJ, akhirnya mereka dapat mengesan keluarga asnaf ini.
JAIJ dengan kerjasama MAPIM Malaysia, Misi Jelajah Peduli Ummah turun ke Johor Bahru bagi menyantuni keluarga asnaf ini. Misi ke Johor Bahru diketuai oleh Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol.
Misi singkat ke selatan ini memberikan sedikit kelegaan buat keluarga Juli. Senyuman kegembiraan terukir apabila Julie menerima kunci rumah baru di Kampung Melayu Majidee yang kelengkapannya disediakan oleh MAPIM Malaysia. Di samping itu, Jabatan Agama Islam Johor turut memberi bantuan kewangan untuk keluarga asnaf ini. Manakala sewa rumah pula diuruskan oleh Ihsan Johor.
Melangkah ke bilik tidur rumah sewa baru mereka, anak-anak kecil Juli sangat teruja. Spontan anak-anak kecil itu meluru dan melompat di atas katil. Terpancar pada raut wajah seorang ibu, senyuman tanda kesyukuran atas sumbangan yang dihulurkan. Bertalu-talu anak kecil Juli melontarkan soalan kepada Bendahari MAPIM Malaysia, Kapten Haji Faris Hussain, “Pakcik bila kita boleh pindah?”
- Sejurus saya menerima perkhabaran berita dan perkongsian gambar rumah Puan Juli yang daif oleh Puan Noorul Syahadah wakil sukarelawan MAPIM di Johor, saya terus mengatur persiapan untuk ke Johor Bahru bagi membantu perpindahan keluarga beliau ke rumah yang lebih selesa. Ini hanya bantuan kecil daripada MAPIM Malaysia kerana usaha yang lebih besar datangnya daripada Kerajaan Johor sendiri melalui Majlis Agama Islam Johor, Puan Noorul dan Ihsan Johor. Harapan kami dengan kediaman baru yang selesa, dapatlah anak-anak PuanJuli membesar dengan persekitaran yang baik.” Menurut Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol.
“Saya merasa amat bersyukur dan terharu. Alhamdulillah kami dapat mendiami rumah yang bersih, selamat dan persekitaran yang selesa untuk anak-anak saya. Terima kasih kepada MAPIM Malaysia,” kata Juli apabila menerima bantuan kotak makanan dari Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol.
_______________________________________
MARI LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB KITA
#MisiUmmahBantuUmmah
MAPIM Malaysia membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan dalam dan luar negara.
Sumbangan boleh dibuat melalui: www.BantuUmmah.com
ATAU menerusi Akaun Maybank TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu
1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016