Ibu saudara kanak-kanak jatuh tingkat 16 ditahan
KUALA LUMPUR : Ibu saudara kanak-kanak yang maut jatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Selayang, semalam ditahan polis bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed, wanita berumur 36 tahun itu ditahan dan suspek dipercayai mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (5b) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dengan cuai menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis bagi tujuan permohonan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainal Mohamed turut memaklumkan kepada orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Nizar Adnan di talian 03-6126 2222/013-9961 892.
Semalam, ibu saudara kanak-kanak berusia lima tahun itu menyedari anak saudaranya tiada di dalam bilik kira-kira jam 10:30 pagi.
Oleh Nurshazlin Shahrom