CHERAS: Kisah menyayat hati tentang seorang anak menjaga ibunya yang berada dalam keadaan lumpuh dan tidak mendapat sebarang rawatan selama lima tahun di Flat Sri Sabah, di sini, semalam.
Pesakit yang juga seorang mualaf, Fatimah Salleh, 84, ibu kepada tiga orang anak mengalami kelumpuhan anggota badan akibat pernah terjatuh dalam tandas suatu ketika dahulu.
Menurut anak bongsu, Rossaidi Mohd Said, 49, berkata sebelum ini ibunya hanya mengalami penyakit ringan seperti darah tinggi, tetapi selepas kecederaan yang melibatkan tulang punggung patah dan beberapa komplikasi tulang lain, menyebabkan ibunya lumpuh.
“Selepas ibu saya jatuh dalam tandas, saya ada bawa ke hospital di Ampang untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut dan keterangan daripada doktor.
“Doktor ada beritahu, ibu saya mengalami tulang patah di bahagian punggung dan jika mahu teruskan pembedahan agak sukar kerana tulang yang patah itu susah nak elok balik atas sebab faktor umur,” katanya.
Tambah Rossaidi, dari segi bantuan, beliau mendapat bantuan sara hidup dan sedikit peruntukkan untuk barang jagaan ibunya daripada Baitulmal, selain turut menerima bantuan daripada pihak lain yang baik hati membantu.
Ibu kepada Rossaidi menjadi seorang mualaf apabila sebuah keluarga muslim menjaganya sewaktu masih kecil lagi.
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak kesihatan daripada Mobile Clinic MAIWP dan sukarelawan MAPIM Malaysia kerana datang membuat pemeriksaan kesihatan dan memberi sedikit ubat rawatan. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik kalian,” luahnya.
Program Mobile Clinic MAIWP-MAPIM akan terus menyantuni dan memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan terutamanya golongan asnaf.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today