HARAM hukumnya sekiranya seseorang itu dengan sengaja mengganggu dan merosakkan rumah tangga orang supaya pasangan suami isteri tersebut bercerai.
Keruntuhan rumah tangga sering dikaitkan dengan orang ketiga. Ianya berdosa bagi mana mana pihak yang menyebabkan satu rumah tangga bercerai dan hancurnya rumah tangga adalah kerana iman yang lemah.
Islam melarang tindakan seseorang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ خَبَّبَ زَوْجَةَ امْرِئٍ أَوْ مَمْلُوكَهُ فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: Barangsiapa yang melakukan takhbib terhadap isteri seseorang atau terhadap hamba yang orang itu miliki maka dia bukan daripada kalangan kami. – Hadis riwayat Abu Daud (5170).
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama berpendapat perbuatan takhbib ini adalah HARAM. Mereka berpandangan seseorang yang merosakkan hubungan antara pasangan suami isteri, dengan memperdaya atau menyebabkan isteri itu menuntut perceraian maka lelaki tersebut telah melakukan DOSA YANG BESAR.
Selain itu, lelaki atau perempuan yang terlibat mengganggu rumah tangga pihak lain dengan cara membuat hubungan sulit dengan suami atau isteri orang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Mengikut Seksyen 43, Enakmen 11 tahun 2023, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2023, mana-mana orang yang mengganggu rumah tangga orang lain dengan apa-apa cara dan mempengaruhinya supaya mengabaikan tanggungjawab rumah tangga sedia ada dengan melakukan suatu kesalahan, boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah juga boleh memerintahkan lelaki atau perempuan itu supaya kembali kepada isteri atau suaminya.
BACA JUGA
HARAM pukul isteri sehingga mencederakan