DomestikKerohanianPendidikanSemasa

Hukum beli emas secara ansuran

Emas adalah antara logam yang sangat berharga. Itu menjadikannya logam yang penting dalam tamadun manusia.

Islam juga mengiktiraf peranan emas dan ia digunakan sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat dalam urusan muamalah mereka.

Terdapat pelbagai manfaat dan fungsi pada emas ini. Antaranya, sebagai perhiasan, simpanan, wang tukaran, dan pelaburan.

Emas bukan sahaja berfungsi di dunia, malah ia juga berfungsi sebagai perhiasan di dalam syurga.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.” (Surah Al Kahfi: 31)

Jelas di sini emas mempunyai kedudukan yang istimewa dan kerana itu, urusan jual beli emas juga punyai peraturan yang tersendiri.

Misalnya, adakah emas ini boleh dibeli secara ansuran atau berhutang ?

Umum mengetahui hukum jual beli suatu barang adalah diharuskan sama ada hendak membeli secara tunai mahupun hutang.

Dalam pada itu, emas merupakan barang ribawi (barang yang terlibat dengan hukum-hakam riba). Oleh itu ia perlu diteliti dengan baik, agar urusan jual beli emas ini tidak melibatkan riba.

Ini dijelaskan melalyui hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”. (Riwayat Muslim)

Seperti yang diterangkan dalam makna hadis ini, jual beli barang ribawi seperti emas perlu dilakukan secara terus bukan bertangguh.

Menjawab persoalan itu, membeli emas secara ansuran atau berhutang adalah haram.

Ini kerana, transaksi emas perlu dilakukan secara on the spot dalam satu majlis dan tidak boleh bertangguh sehari atau dua hari selepas itu.

Justeru itu, jual beli emas secara ansuran seperti isu di atas adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang berlaku disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.

Semoga kita sentiasa berhati-hati dalam urusan jual beli emas. Jangan kerana mengejar keuntungan emas di dunia, kita rugi emas di syurga.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button