KUANTAN : Hujan yang berterusan sejak semalam mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Kuantan ditenggelami air, pagi ini.
Kawasan yang dilanda banjir kilat antaranya pusat bandar raya, taman perumahan dan kampung.
Beberapa jalan utama juga ditenggelami air iaitu Jalan Gambang, Jalan Pintasan Kuantan, Jalan Soi.
Merujuk hantaran di Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, seramai 24 mangsa banjir di Jalan Sungai Soi, Kempadang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kempadang oleh empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan.
Sementara itu, dilaporkan terdapat tiga sungai iaitu dua di Jerantut dan satu di Kuantan melepasi paras berjaga-jaga.
Dua sungai di Jerantut ialah Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Tembeling di Kampung Merting yang merekodkan 64.63 meter dan 54.57 meter serta Sungai Kuantan di Bukit Kenau, mencatatkan paras 20.25 meter.
Berdasarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis dan Sungai Lembing, sudah pun melepasi paras bahaya, dengan masing-masing 82.73 meter dan 37.97 meter.