WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata beberapa hospital di negara itu akan dipenuhi oleh pesakit COVID-19.
Namun, negara itu secara amnya sudah membuat persiapan bagi menghadapi lonjakan terbaru dan rakyatnya diminta untuk tidak panik.
Biden bercakap demikian ketika varian Omicron COVID-19 semakin merebak dengan pantas sehingga mengganggu kesibukan syarikat penerbangan mengurus musim percutian Krismas, mendorong Penasihat Perubatan Rumah Putih, Anthony Fauci mencadangkan syarat vaksin bagi perjalanan udara domestik mungkin diperlukan.
“Saya fikir itu sesuatu serius yang harus dipertimbangkan,” katanya kepada MSNBC.
Dalam mesyuarat maya dihoskan Rumah Putih dengan beberapa gabenor negeri dan penasihat kesihatan tertinggi, Biden menegaskan varian Omicron tidak akan mempunyai kesan sama seperti wabak awal COVID-19 pada 2020 atau lonjakan Delta tahun ini.
“Kita bimbang mengenai lonjakan kes akibat varian Omicron, namun ia tidak sepatutnya menjadi perkara yang mencetuskan panik,” katanya.
Ujian saringan akan diadakan secara lebih meluas dan vaksinasi besar-besaran akan dilakukan bagi memastikan jangkitan kepada orang ramai tidak membawa kepada gejala lebih serius.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today