KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) akan melanjutkan Pelan Bantuan Pembayaran HLB (HLB PRAP) kepada pelanggan masing-masing sehingga 30 Jun 2021.
Dalam satu kenyataan, HLB mengulangi pelan bantuan pembayaran itu bertujuan untuk membantu pelanggan memulihkan kedudukan mereka dan ia termasuk permohonan untuk pelanggan yang telah mula membuat pembayaran tetap tetapi mungkin masih berdepan dengan halangan.
“Bentuk bantuan itu meliputi, tetapi tidak terbatas kepada, tempoh penangguhan pembayaran tambahan untuk pelanggan yang telah kehilangan pekerjaan atau menutup perniagaan mereka, atau pengurangan ansuran pinjaman bulanan dengan jangka masa pinjaman dilanjutkan bersesuaian dengan tahap pengurangan pendapatan pelanggan,” – Hong Leong
Pelan itu membenarkan pelanggan menukar baki kad kredit tertunggak mereka ke dalam pinjaman berjangka dengan memilih pelan ansuran 36 bulan pada kadar faedah efektif 13 peratus setahun (kadar faedah rata 7.1 peratus setahun).
Pihak bank akan menerima permohonan untuk fleksibiliti tersebut sehingga 30 Jun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif HLB dan Pengarah Urusan Kumpulan, Domenic Fuda, berkata bank itu kekal fokus dan tangkas bagi memastikan bantuan tambahan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Kami juga memberi bantuan kepada pelanggan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka, atau mengautomasikan atau mendigitalkan operasi mereka, atau khususnya kepada individu yang sedang mencari pembiayaan baharu untuk memenuhi keperluan peribadi mereka,” katanya.
Pelanggan boleh menghubungi talian hotline Pelan Bantuan Pembayaran HLB/HLISB di talian 03-7959 1888 atau lawati www.hlb.com.my/relief untuk maklumat lanjut.