Hishammuddin ketuai delegasi Malaysia ke AMM ke-54
PUTRAJAYA : Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-54 (AMM ke-54) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bermula hari ini sehingga 7 ogos.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata semua mesyuarat itu diadakan menerusi sidang video dan dihoskan Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021.
“AMM ke-54 kali ini menteri-menteri luar ASEAN akan membincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN, Keutamaan dan Hasil Utama ASEAN termasuk strategi bersama pemulihan sosioekonomi Covid-19.
“Turut akan dibincangkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Keselamatan Politik ASEAN 2025, isu serantau dan antarabangsa termasuk persiapan untuk Sidang Kemuncang ASEAN ke-38 dan ke-39 yang dijadualkan pada Oktober 2021,” menurut kenyataan itu.
Antara mesyuarat akan disertai Hishammuddin, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN+3 Ke-22 (APT FMM Ke-22), Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), Mesyuarat Majlis Komuniti Politik- Keselamatan ASEAN (APSC) ke-23, dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-29.
Lain-lain mesyuarat ialan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-ROK, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-China, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Jepun, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Amerika Syarikat dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Australia.
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia sebagai Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia 2018-2021, Hishammuddin dan rakan sejawatannya dari Australia, Senator Marise Payne akan bersama mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Australia.
“Di akhir mesyuarat, Malaysia akan menyerahkan peranan sebagai Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia kepada Laos.
“Malaysia juga akan mengambil alih peranan Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Kanada daripada Myanmar selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Kanada,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan rumusan AMM ke-54 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, menteri-menteri luar dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk Kenyataan Bersama AMM Ke-54 yang akan memperincikan hasil perbincangan serta keputusan strategik yang dicapai semasa mesyuarat.
– BERNAMA