SemasaSyariah

Hina Islam, promosi LGBT di laman sosial

JAKIM cadang tindakan penguatkuasaan tegas

PUTRAJAYA : Mesyuarat Khas Pasukan Khas Menangani Isu LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) bersetuju melaksanakan tindakan tegas dalam kadar segera bagi menangani isu penghinaan agama secara umum serta promosi gaya hidup LGBT.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, mesyuarat tersebut diwujudkan bagi membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary. Sumber – Halal Watch World

Tambahnya, mesyuarat yang diurusetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu selari dengan Pelan Tindakan Sosial Islam, yang dipengerusikan Ketua Pengarah JAKIM.

Menurutnya, kerajaan akan mengenal pasti masalah dan kekangan yang dihadapi oleh pihak penguatkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan bersepadu.

“Kerajaan mencadangkan pindaan kepada Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) dan undang-undang tatacara jenayah syariah di negeri-negeri bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap mana-mana orang Islam yang menghina agama Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi.” – Datuk Ahmad Marzuk Shaary/ Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama)

Kerajaan katanya akan menghasilkan satu prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan bertulis secara komprehensif dan menyeluruh mengenai tatacara mengendalikan aduan bagi kesalahan-kesalahan berkaitan penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT.

Sementara itu, antara agensi yang terlibat dalam mesyuarat tersebut ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM); Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – AlHijrah

Oleh : Muhammad Nasrul Haqim – Pelatih Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button