SHAH ALAM : Jumlah kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) menunjukkan peningkatan sebanyak 20 kali ganda iaitu sebanyak 47,209 kes direkodkan setakat 21 Mei tahun ini berbanding tempoh sama pada 2021 iaitu hanya 2,237 kes dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mana peningkatan sebanyak 106.6 peratus di mana kes dilaporkan bagi minggu epidemiologi (ME) 20/2022 adalah 15,548 kes berbanding ME 19/2022 iaitu hanya 7,526 kes di seluruh negara.
Menurutnya, pergerakan penduduk Malaysia semasa sambutan hari raya mendorong kepada peningkatan kes pada ME 20.
“Pada tahun 2022, sehingga 21 Mei, negeri Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu 13,640 kes (28.9 peratus).
“Ia diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 6,206 kes (13.1 peratus), Perak 4,099 kes (8.7 peratus), Kelantan 3,726 kes (7.9 peratus) dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus).
“Sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 2,500 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambanya, tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022 adalah Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71) mengikut survelan jenis virus (enterovirus) di Malaysia.
“Pada tahun 2022, sehingga kini, terdapat dua kes HFMD positif EV71 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis). Kedua-dua kes tersebut adalah kanak-kanak berumur bawah 6 tahun,” katanya.
Jelas beliau lagi, sehingga kini, sebanyak 1,168 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah WPKL dan Putrajaya iaitu 413 wabak (35.4 peratus), diikuti Selangor 143 wabak (12.2 peratus) dan Perak 130 wabak (11.1 peratus)
“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 711 wabak (61 peratus) diikuti oleh rumah persendirian dengan 407 wabak (35 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 42 wabak (3 peratus),” katanya.