Covid19DomestikSemasa

‘Helpdesk’ akan dibuka di PPV, selesai isu MySejahtera

PUTRAJAYA: Meja bantuan secara fizikal di beberapa lokasi akan ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu menyelesaikan masalah berkaitan maklumat dalam aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata isu terbabit seperti seperti maklumat sijil vaksinasi digital akan diselesaikan dan meja bantuan fizikal yang pertama akan dibuka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) WTC di Kuala Lumpur pada 19 Februari ini.

Katanya, satu lagi akan dibuka di PPV Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam pada 26 Februari nanti.

“Untuk membantu selesaikan isu yang berbangkit dengan MySejahtera, kita membuat keputusan untuk menubuhkan beberapa ‘helpdesk’ secara fizikal di beberapa tempat.

“Orang ramai yang mempunyai masalah dengan sijil vaksin dan sebagainya boleh pergi ke ‘helpdesk’ fizikal ini untuk selesaikan masalah mereka.

“Sudah pasti ‘helpdesk’ secara maya akan diteruskan,” katanya pada sidang media di KKM, hari ini.

Khairy berkata, beliau sebelum ini menerima aduan daripada orang ramai mengatakan masih ada yang menunggu untuk mendapatkan sijil vaksinasi digital masing-masing.

Sementara itu, Khairy berkata, mulai esok, KKM tidak lagi mengeluarkan pelaporan COVID-19 harian tetapi maklumat itu akan dimuat naik bersekali dengan data lain pada jam 10 pagi keesokan harinya.

“Ini adalah supaya kita dapat baca data kes harian bersama dengan data lain seperti kemasukan ke hospital untuk kita mengurangkan ‘fear factor’ kes harian setiap hari.

“Ini adalah perubahan budaya bagi kita, jangan tunggu jam 3 untuk kenyataan media Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya.

Khairy berkata, bilangan kes harian itu perlu dibaca dengan data lain bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung dengan keadaan semasa supaya secara perlahan ia dapat mendidik masyarakat untuk berubah daripada hanya melihat kes harian kepada data secara keseluruhan.

Katanya, ia juga adalah amalan di negara lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut meminta majikan untuk melepaskan pekerja masing-masing membawa anak mereka mendapatkan vaksin.

Beliau berkata, janji temu itu boleh dilihat melalui aplikasi MySejahtera.

“Ini kita tidak boleh paksa, tapi kita meminta kerjasama daripada majikan untuk memberi kebenaran supaya pekerja membawa akan mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya.

Selain itu, Khairy turut meminta majikan mengelakkan mesyuarat, perjumpaan atau sebarang urusan dengan pekerja dilakukan secara fizikal sebaliknya disarankan untuk mengamalkan ‘work from home’ (WFH).

Katanya, biarpun KKM yakin negara akan dapat mengharungi gelombang Omicron, semua pihak perlu memastikan pertambahan kes positif baharu diperlahankan.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button