Helikopter Eurocopter terputus hubungan selepas berlepas dari LTSAAS

IPOH : Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan bahawa sebuah helikopter gagal dihubungi oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada 12:16 tengah hari tadi.
Helikopter jenis Eurocopter dengan seorang juruterbang dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan untuk mendarat pada 12:37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pegawai kawalan trafik udara cuba menghubungi juruterbang walau bagaimanapun tiada panggilan kecemasan dibuat.
“Sistem radar di KLATCC telah merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit. Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada 1 minit.
“Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di KLATCC telah segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter itu,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia kini berada di lokasi terakhir yang diketahui untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).