Hati tidak akan mati sekiranya beribadah pada malam raya?
KUALA LUMPUR: Setelah pengumuman raya yang disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad semalam, secara rasminya umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu, 22 April 2023.
Namun, setiap kali menjelang Aidilfitri, pastinya akan muncul hadis yang menceritakan bahawa hati tidak akan mati sekiranya beribadah pada malam raya.
Sejauh manakah kesahihan hadis itu?
Untuk menjawab persoalan tersebut eloklah sekiranya kita merujuk kepada mereka yang arif dalam bidang ini.
Menurut laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk ‘Irsyad Al-Hadith Siri ke-407: Kelebihan Beribadah Pada Malam Raya’, persoalan berkaitan hadith ini telah pun dijawab secara lengkap.
Daripada Abi Umamah RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan dua malam raya (Eid al-Adha dan Eid al-Fitri) dengan penuh pengharapan kepada Allah, tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati akan mati.” [Riwayat Ibn Majah (1782)]
Menurut Imam al-Nawawi hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Majah dan juga Imam al-Syafie (di dalam musnadnya). Akan tetapi, hadith ini adalah dhaif daripada riwayat Abi Umamah yang diriwayatkan secara marfu’ (hadith yang disandarkan kepada Nabi SAW samada dari sudut perkataan, perbuatan, ikrar dan juga sifat Nabi SAW) dan juga mawquf (hadith yang disandarkan kepada sahabat Nabi SAW sama ada daripada perkataan dan perbuatan dan sanadnya tidak sampai atau bersambung kepada Rasulullah SAW) yang mana keduanya adalah dhaif.
Tambahan pula, hadith-hadith berkaitan fadhail ini dibolehkan untuk beramal dengannya (walaupun ia dhaif sekalipun sekiranya menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh para ulama).
Imam al-Iraqi juga menyatakan bahawa sanad hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Abi Umamah ini adalah dhaif manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’outh turut menghukum sanadnya dhaif disebabkan oleh Baqiyyah bin al-Walid.
Di dalam Majma’ al-Zawaid ada dinukilkan riwayat yang lain daripada Ubadah bin Somit, dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحْيَا لَيْلَةَ الْفِطْرِ وَلَيْلَةَ الْأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menghidupkan malam raya Eid al-Fitri dan malam raya Eid al-Adha, tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati akan mati.” [Lihat: Majma’ al-Zawaid (3203), 2/198]
Imam al-Haithami menilai hadith ini sebagai dhaif disebabkan terdapat perawi bernama Umar bin Harun al-Balkhiy yang didhaifkan oleh kebanyakan para ulama.
Setelah melihat sebahagian pendapat para ulama dalam menilai hadith berkaitan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan cenderung kepada hadith-hadith tersebut (yang menceritakan berkaitan kelebihan beribadah pada malam raya) adalah dhaif.
Adapun berkaitan makna hadith ini, zahir hadith menunjukkan perlu menghidupkan sepanjang malam dengan ibadah akan tetapi, dengan melakukan solat tahajjud sudah memadai. Tambahan pula, hati akan mati disebabkan dosa yang banyak dan sesiapa yang bertemu dengan hari yang dimaksudkan tersebut akan terpelihara hatinya (hatinya akan hidup) dalam kalangan manusia.
Imam al-Syafie RA telah berkata bahawa waktu yang mustajab untuk berdoa adalah pada 5 malam iaitu malam Jumaat, malam raya Eid al-Adha, malam raya Eid al-Fitri, malam awal bulan Rejab dan juga malam nisfu Sya’ban.
Jadi, hadith berkaitan kelebihan beribadah pada malam raya adalah dhaif namun juga terdapat sebahagian ulama yang menilai hadith ini sebagai palsu atau terlalu dhaif. Kita boleh menghidupkan malam raya dengan amal ibadah seperti solat, berzikir, membaca al-Quran dan atau apa-apa bentuk ketaatan dan amal soleh.