InspirasiSemasa

Hari Pekerja 2022 : Islam titik berat kepentingan adab dalam pekerjaan

Oleh Azrina Amri,wartawan pelatih 

Islam sangat menitikberatkan kepentingan adab dalam pekerjaan. Setiap orang yang beriman perlu mengutamakan adab dalam mencari rezeki sama ada dalam pekerjaan awam, swasta, mahupun bekerja sendiri.

Malah pekerjaan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan menjadikan rezeki yang diperoleh bukan sahaja mencukupi bahkan melimpah-ruah .Ini adalah satu rahsia bagi orang bersyukur yang mempunyai pendapatan sederhana tetapi sentiasa bahagia dalam kehidupannya.

Menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pekerja dengan penuh dedikasi serta memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan tugasan yang diberikan dapat diselesaikan mengikut perancangan.

Antara amalan atau adab yang boleh dipraktikkan ketika bekerja adalah :

  1. Sebelum melangkah keluar dari rumah, mengamalkan bacaan doa iaitu,
    Maksud : Dengan nama Allah (aku keluar). Aku bertawakal (berserah diri) kepada Allah, tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah. (Hadis Riwayat Tirmidzi dari Anas bin Malik).
  1. Keluar bekerja dengan ikhlas dan niat kepada Allah SWT untuk mecari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga. Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
    “Apabila seorang lelaki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah.”  (HR Bukhari)
  2. Melakukan pekerjaan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana hadis nabi ada menyebut, “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang hamba yang apabila dia bekerja, dia menyempurnakan pekerjaannya.” (HR Tabrani)
  1. Jadilah pekerja yang menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan penuh jujur, amanah dan tidak menyalahgunakan jawatan dan harta. Abdullah Mas’ud RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:
    “Wajib ke atasmu jujur kerana sesungguhnya kejujuran menunjukkan kepada kebaikan dan kebaikan menunjukkan ke syurga serta seseorang selalu jujur dan memelihara kejujuran hingga ditulis dan di sisi Allah sebagai orang jujur.” (HR Tirmizi)
  1. Tidak melibatkan diri dengan pekerjaan yang haram atau syubhah iaitu melibatkan skop kerja yang sudah terang ia pekerjaan yang haram. Nu’man Basyir RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
    “Perkara halal itu jelas, perkara haram juga jelas dan antara keduanya adalah syuhbah, banyak orang tidak mengetahui apakah perkara halal atau haram dan sesiapa meninggalkannya bebaslah ia untuk agama dan kehormatannya serta selamat (daripada kecaman syaral). Dan barang siapa terjatuh di dalamnya, dikhuatiri terjatuh dalam keharaman.” (HR Tirmizi)
  1. Rezeki itu boleh terhalang apabila, melakukan perbuatan dosa dang mungkar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
    “Tiada sesuatu yang boleh menambah umur kecuali kebajikan dan tiada sesuatu boleh menolak takdir kecuali doa. Sesungguhnya seseorang akan tercegah daripada rezeki oleh sebab dosa yang dia lakukan.” (HR Ibnu Majah)
  1. Selalu mengucapkan syukur kepada Allah SWT dengan rezeki yang diberikan. Abdullah ibnu ‘Amru ibnu ‘Ash RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,
    “Sungguh amat beruntunglah orang Islam (berserah diri) dan berasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya.” (HR Muslim)
  2. Apabila kita memperolehi rezeki, kita digalakkan bersedekah kerana sebahagian yang diperoleh itu menjadi hak orang lain dan yakin hart akita tidak akan berkurang jika bersedekah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
    “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah.” (HR Muslim)
  1. Jangan jadikan alasan, sibuk mencari rezeki sehingga tidak beribadat kepada Allah SWT, seperti melewatkan solat, tidak bersedekah dan sebagainya. Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda: Allah SWT berfirman:
    “Wahai anak Adam, kerjakanlah ibadat semata-mata untuk-Ku, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku tutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak mengerjakannya, maka Aku penuhi dadamu dengan kesibukan tetapi Aku tidak menutup kemiskinanmu.(HR Ibnu Majah)
  2. Setiap tugasan atau pekerjaan yang dilakukan meletakkan tawakal kepada Allah SWT. Umar al-Khathab RA berkata Rasulullah SAW bersabda:
    “Sungguh kalau kamu sekalian bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sungguh-sungguh, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia berangkat pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.” (HR Tirmizi)

Jelaslah disini, Islam sangat mementingkan adab dan keberkatan dalam pekerjaan, supaya rezeki yang diperolehi diredai Allah SWT.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button