Covid19KesihatanSemasa

Hari Pekerja 2021 : Norma bekerja alaf baharu

Ubah budaya kerja hindar jangkitan meluas

BANGI :  Tanggal 1 Mei sinonim dengan sambutan penghargaan buat individu yang bergelar pekerja di seluruh dunia tanpa mengira sektor swasta mahupun kerajaan atau bekerja sendiri.

Wartwan UMMAHToday Nurshazlin Shahrom meninjau konsep norma baharu di tempat kerja.

Dua tahun kebelakangan ini tarikh tersebut dirasakan amat berbeza berikutan pandemik COVID-19 yang tersebar sehingga mengorbankan puluhan juta manusia hilang sumber pendapatan sejak bermulanya penularan wabak COVID-19 pada awal tahun lepas.

Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) merekodkan seramai 99, 696 pekerja diberhentikan antara Januari hingga 27 November pada tahun 2020 akibat kesan penularan COVID-19.

Menurut laman portal rasmi Facebook Kementerian Sumber Manusia, dilaporkan 100 orang pekerja kehilangan pekerjaan pada hari ini (30 April 2021) yang menyumbang kepada jumlah kumulatif pekerja yang diberhentikan pada tahun ini seramai 25,262 orang.

Namun begitu, merujuk pada statistik utama tenaga buruh di Malaysia selepas dikemaskini pada Februari 2021, bermula sekitar bulan Februari, menyaksikan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus atau bersamaan 33.3 ribu orang kepada 15.27 juta orang (Januari 2021 : 15.24 juta orang).

Kadar pengangguran jatuh 0.1 mata peratus kepada 4.8 peratus pada Februari 2021 berbanding bulan Januari 2021. Bilangan pengganggur berkurang sebanyak 0.6 peratus atau 5.0 ribu orang kepada 777.5 ribu orang (Januari 2021: 782.5 ribu orang). Pada bulan tersebut, bilangan tenaga buruh meningkat 0.2 atau 28.4 ribu orang kepada 16.05 juta orang (Januari 2021:16.02 juta orang). Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut kekal pada 68.5 peratus.

Oleh itu, pihak kerajaan mula melaksanakan pelonggaran bagi sektor pekerjaan untuk hadir ke tempat kerja secara fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Bermula dengan tiga aktiviti perniagaan dibenarkan untuk beroperasi iaitu pasar malam, kedai gunting rambut dan kedai cuci kereta.

Pada 10 Februari 2021, lebih banyak sektor peruncitan dibenarkan beroperasi termasuk kedai pakaian, fesyen & aksesori, kedai kasut serta peralatan dan perkhidmatan fotografi untuk memastikan kemampanan ekonomi terutamanya dalam kalangan perniagaan kecil.

Namun, pelonggaran sektor pekerjaan ini bukan tiket untuk para pekerja memandang enteng akan SOP yang ditetapkan. Hal ini kerana, peningkatan jumlah kluster di beberapa kawasan amat mebimbangkan, ini kemungkinan berkait rapat dengan peningkatan ujian yang dilakukan secara bertumpu bagi mengesan lebih banyak kes dengan secepat mungkin, dan seterusnya mengawal penularan COVID-19.

Terkini (30 April 2021), kes jangkitan COVID-19 melaporkan 17 kluster baharu melibatkan lima kluster komuniti, manakala lima kluster di tempat kerja, empat kluster pendidikan dan satu kluster pusat tahanan dan satu keagamaan.

Sumber : FB KKM

Justeru itu, tiada siapa yang menyangka wabak COVID-19 yang hanya bermula di Wuhan, China, mampu merebak ke seluruh dunia sehingga memberikan impak yang tidak terjangkau dek akal fikiran kita. Norma baharu di pejabat atau tempat kerja harus diterapkan. Masyarakat diminta untuk adaptasi dengan norma dan cara bekerj yang baharu.

Berdasarkan info dari laman portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, majikan juga bertanggungjawab untuk menyediakan tempat kediaman pekerja yang kondusif di samping memastikan pekerja sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19. Antara amalan-amalan yang perlu dilaksanakan adalah seperti berikut:

  • Pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum memasuki tempat kerja;
  • Penyediaan tempat mencuci tangan atau hand sanitizer;
  • Kerap melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman terutamanya ruang guna sama;
  • Amalan jarak sosial selamat iaitu sekurang-kurangnya 1 meter termasuk di ruang kerja dan ruang makan (pantry)
  • Pastikan pekerja tidak berkumpul di ruang sempit (confined space)
  • Elakkan terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa (congregation) dan
  • Pastikan jarak 1 meter semasa pekerja bertutur dengan satu sama lain (close conversation)

Selain itu, para pekerja sentiasa diingatkan untuk menjaga kebersihan setelah pulang dari tempat kerja dan digalakkan membersihkan diri dulu sebelum bercampur dengan ahli keluarga yang lain bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Sama juga di tempat kerja, semua pekerja diminta patuh kepada semua peraturan dan SOP yang telah ditetapkan agar risiko penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat dapat dikurangkan.

Diharapkan agar wabak COVID-19 ini beransur pergi dan kembali membawa pelangi dalam kehidupan kita. Jaga diri, jaga semua. Marilah kita sama-sama mendoakan agar virus ini dapat ditangani dengan segera.

Pic:BERNAMA

Namun perlu diingat tiada makna hari cuti bagi Barisan Hadapan yang terus-terusan bekerja dari hari perama Perintah Kawalan Pergerakan dilancarkan pada Mac tahun lalu. Sama-sama juga warga pekerja dan masyarakat Malaysia memberikan `cuti’ untuk mereka. #kitajagakita

Ummah Today mengucapkan Selamat Hari Pekerja!

Oleh : Pelatih Fakulti dan Komunikasi Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button