DuniaSemasa

Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Antarabangsa, Palestin tubuh pasukan bola sepak ‘amputee’

BANDAR GAZA: Bersempena Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Antarabangsa hari ini, kisah menarik mengenai pasukan bola sepak Palestin ‘Amputee’ yang mempunyai 20 pemain terdiri daripada kalangan individu hilang anggota badan.

Ahmed Abu Nar yang berusia 34 tahun berkata beliau menggunakan tongkat akibat cedera setelah menjadi mangsa serangan tentera rejim pada 2018.

“Saya menjadi individu berbeza selepas cedera. Hidup, matlamat cita-cita dan cabaran baharu bermula, kini saya sedang mencapai matlamat,” katanya.

Menurut Jurulatih Simon Baker, bekerja dengan pemain yang menjalani amputasi ini adalah sama seperti orang biasa dan bukannya OKU.

“Kami mahu orang ramai menghormati pemain dan melihat mereka seperti Ahmed atau sesiapa sahaja, bukannya individu cacat. Kami mahu menjadikan pemain ini wira,” kata Baker yang juga individu menjalani amputasi.

Merujuk laporan berita Daily Sabah, Jurucakap Bulan Sabit Merah, Suhair Zakkout, berkata pemain Palestin menetapkan standard baharu selepas pasukan tempatan pertama bermula dengan beberapa pemain pada 2019.

“Hari ini, pemain-pemain ini mencipta sejarah dengan membentuk pasukan bola sepak kebangsaan pertama untuk orang golongan ‘amputee’,” katanya.

Tambah Zakkout, para pemain sedang menjalani latihan untuk perlawanan kelayakan yang akan diadakan pada Mac 2022 di Iran.

Jika pasukan itu berjaya, mereka akan meneruskan perlawanan Piala Dunia Bola Sepak Amputee, yang dijadualkan diadakan di Turki pada akhir 2022.

Sementara itu, pemain bola sepak di Semenanjung Gaza menggunakan tongkat dan kaki palsu sebagai latihan dalam usaha melayakkan pasukan itu ke Piala Dunia Amputee.

Pasukan Palestin kini berada di kawasan terpencil Semenanjung Gaza dengan dua juta penduduknya berada dalam sekatan Israel. -AGENSI

Related Articles

Back to top button