Hari Kebuluran Sedunia 2022 : Bukan semua manusia bernasib baik
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
Kehidupan seorang manusia akan lengkap dengan kitaran makanan yang berkhasiat yang mengandungi nutrien seimbang seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan sebagainya.
Ketika perut berasa lapar sudah pasti kita akan mencari sesuatu makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa ada kelompok manusia yang berhempas pulas untuk mencari sesuap nasi?
Hari Kebuluran Sedunia ini merupakan satu kempen kesedaran yang dilakukan pada setiap tahun pada tarikh 28 Mei, di seluruh dunia, agar masyarakat cakna untuk membantu dalam membasmi kelaparan.
Kebuluran yang berlaku ini melibatkan beberapa faktor yang penting. Antara penyumbang utama kepada kebuluran adalah perubahan cuaca dan iklim.
Dapat kita lihat dalam situasi sekarang ini, perubahan cuaca yang berlaku di negara India yang menjejaskan penanaman gandum di negara tersebut sehingga mereka mengeluarkan arahan untuk melarang eksport gandum serta- merta kepada negara luar.
Impaknya menjadi krisis bekalan makanan kepada dunia malah, menjadi punca kepada kebuluran.
Tidak dinafikan, kemarau juga merupakan salah satu faktor kepada kekurangan bekalan makanan di seluruh dunia disebabkan tempoh hujan tahunan yang rendah.
Seterusnya, faktor peperangan dan konflik turut memusnahkan tanaman dan pembuatan makanan. Jutaan manusia yang terpaksa meninggalkan rumah mereka sehingga meningkatkan kes bantuan kecemasan makanan disebabkan mereka tidak mempunyai bekalan makanan
Seperti yang berlaku ketika ini, konflik di antara Rusia dan Ukraine sehingga menjejaskan ekonomi dunia, peperangan dan sekatan seperti import dan eksport bekalan makanan sangat terkesan.
Pada waktu yang sama, kemiskinan dan kebuluran juga sangat berkait rapat, mereka yang hidup dalam kemiskinan tidak mempunyai sumber pendapatan untuk memperolehi makanan bagi diri dan keluargannya.
Oleh sebab itu, tubuh badan kian lemah, serta memberi kesan terhadap mental dan fizikal yang menghalang mereka daripada bekerja untuk keluar dari kancah kebuluran dan kemiskinan. Dalam hal ini, kanak-kanak adalah golongan yang paling terjejas kerana mereka akan membesar tanpa kandungan nutrisi yang cukup.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, faktor-faktor itu merupakan punca utama berlakunya krisis bekalan makanan sehinggakan berlaku kebuluran dalam masyarakat. Kini, pelbagai pihak telah merasai kesan tersebut.
Dalam meniti arus kemodenan ini, krisis ini perlu ditangani supaya negara dapat membanteras kebuluran dan menjamin bekalan makanan yang mencukupi untuk masyarakat.
Lebih-lebih lagi, perlu menekankan kepentingan peningkatan produktiviti pertanian dalam memberi makan kepada rakyat yang mengalami kebuluran.
Inisiatif itu perlu dilaksanakan bagi menyelamatkan nyawa orang yang menderita kelaparan kronik dan kekurangan zat makanan. Komuniti global perlu bersatu untuk mencari penyelesaian yang mampan untuk menangasi krisis kebuluran dan kekurangan makanan yang menjejaskan populasi yang besar di seluruh dunia.