Semasa

Harga barangan kembali pulih, harap orang ramai bersabar

KLUANG :  Pelbagai usaha dan inisiatif kerajaan bagi menstabilkan harga barangan khususnya sayur-sayuran dan ayam ketika ini mula membuahkan hasil.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berharap orang ramai bersabar sementara harga barangan kembali pulih.

“Insya-Allah apabila bekalan makanan ini diimport, ia akan diberi subsidi, cuma kita harap rakyat bersabar.

“Kejatuhan harga sayur-sayuran dan ayam di pasaran sekarang adalah berikutan tindakan kerajaan memberikan peruntukan yang agak besar.

“Insya-Allah mulai sekarang akan berlaku penurunan harga komoditi secara berkala. Saya harap orang ramai memahami isu ini kerana ia adalah isu global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar hari ini di Simpang Renggam, selepas melawat Projek Kluster Tanaman Nanas Parit Ghani.

Menurut Nik Muhammad Zawawi, kadar kenaikan harga komoditi di negara ini tidaklah seteruk di negara lain seperti beberapa negara Asia Barat yang harganya meningkat sehingga tiga kali ganda.

“Alhamdulillah, pentadbiran negara kita masih prihatin untuk membantu rakyat walaupun kita berada di ambang kegawatan ekonomi yang teruk.”

“Ia (harga barang meningkat) bukan melanda negara kita saja kerana ramai menganggap kenaikan harga barang hanya di Malaysia, sebaliknya ia berlaku di semua negara, ” katanya.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

 

Related Articles

Back to top button