Hanya perlu tunjuk sijil digital vaksinasi di aplikasi MySejahtera
Orang ramai tidak perlu cetak
GOPENG : Individu yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 hanya perlu tunjuk sijil digital vaksinasi yang dipaparkan di aplikasi MySejahtera sekiranya ingin melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah mahupun aktiviti sosial lain.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tiada keperluan untuk mencetak sijil digital berkenaan kerana tindakan itu boleh mengelirukan.
“Mereka boleh tunjuk sijil digital di MySejahtera ketika ini tanpa perlu mencetaknya. Semua pihak mahu membuat perkhidmatan berbayar sedangkan tidak perlu langsung untuk mencetak.
“Cukup sekadar menunjukkan sijil berkenaan di telefon bimbit masing-masing kepada penguat kuasa termasuk di sekatan jalan raya (SJR),” menurut laporan Sinar Harian.
Menurutnya, selain sijil digital, orang ramai boleh menunjukkan kad vaksinasi yang diterima selepas suntikan dibuat.
“Masing-masing ada kad itu dan saya pernah jumpa rakyat yang ‘laminate’ kad berkenaan untuk disimpan seperti MyKad. Itu juga sebagai bukti sekiranya telefon bimbit kehabisan bateri dan sebagainya.
“Guna kad yang diberikan dan bukannya yang dicipta atau dijual. Setakat ini, hanya itu sahaja kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Mengulas mengenai, Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis akan menjalankan siasatan terhadap penjualan sijil digital vaksinasi palsu tersebut termasuk di platform e-dagang.
– Sinar Harian