Hampir 14,000 mangsa banjir di 3 negeri berlindung di PPS
KUALA LUMPUR: Seramai 13,827 mangsa banjir di tiga negeri terjejas dengan bencana itu kini ditempatkan di 73 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi Sabtu ini, menurut BERNAMA.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,480 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 3,328 malam tadi dan ditempatkan di 35 PPS di beberapa daerah di negeri berkenaan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Mersing kekal dengan jumlah mangsa paling ramai melibatkan 1,792 orang, diikuti Kluang (780), Kota Tinggi (417), Batu Pahat (209), Segamat (115) dan Tangkak (15).
Sementara itu, empat sungai di negeri berkenaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat dengan bacaan 5.96 meter (m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (14.53 m); Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (3.33 m) dan Sungai Endau, Mersing (2.90 m).
Sementara itu di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat sedikit kepada 10,347 orang daripada 3,569 keluarga setakat 8 pagi ini, dan ditempatkan di 34 PPS di enam daerah, berbanding 10,312 mangsa daripada 3,564 keluarga malam tadi.
Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan satu lagi PPS di Lahad Datu dibuka pada 9 malam menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.
Menurut kenyataan JPBN Sabah, seramai 2,160 orang (795 keluarga) ditempatkan di sembilan PPS di Pitas, manakala 664 orang (187 keluarga) dipindahkan ke sembilan PPS di Paitan.
Di Tawau, 109 orang (24 keluarga) dipindahkan ke sebuah PPS dan di Telupid seramai 21 orang (lima keluarga) berlindung di dua PPS.
JPBN PAHANG pula melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin pagi ini kekal 353 orang daripada 106 keluarga dengan empat PPS masih beroperasi iaitu PPS Kampung Setajam menempatkan 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122), PPS Balai Raya Bukit Lepas (40) dan PPS Balai Raya Kampung Denai (26).
Sungai Keratong di Rompin masih melepasi paras bahaya 23 m apabila mencatatkan bacaan 24.36 m pagi ini, berbanding 24.45 m malam tadi.
Bagaimanapun, paras Sungai Keratong terus menunjukkan trend penurunan, menurut JPBN.
ROMPIN, 25 Januari – Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Rompin, Pahang dibuka ekoran banjir kilat yang berlaku pada malam tadi.https://t.co/AkLVbcd7h3
‘Yang sahih di Berita RTM’#RTM #BeritaRTM #MalaysiaMadani pic.twitter.com/8PJDFckP45
— Berita RTM (@beritartm) January 25, 2023
BACA JUGA
MAPIM Rangers gembleng tenaga bantu mangsa banjir di Tumpat
MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan musibah banjir serta menyokong kelangsungan misi bantuan kemanusiaan kami.
Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi
Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263540066
atau klik ke www.bantuummah.com
HOTLINE MAPIM MALAYSIA
jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038