DUBAI: Hamas mengesahkan bahawa Ketua Biro Politiknya, Yahya Sinwar, telah terbunuh dalam serangan Israel pada Khamis.
Perkara ini disahkan oleh anggota Biro Politik Hamas, Khalil al-Hayya, dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui akaun Telegram Brigade al-Qassam pada Jumaat.
“Yahya Sinwar telah gugur sebagai pejuang syahid ketika bertempur dengan tentera Israel sehingga ke nafas terakhirnya,” kata Khalil dalam kenyataan tersebut.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa Yahya Sinwar dibunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza pada Khamis.
Yahya, yang merupakan arkitek utama serangan Palestin terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, dianggap sebagai perancang yang memainkan peranan penting dalam mencetuskan penentangan rejim di Gaza. Pemergiannya disifatkan sebagai tamparan besar kepada Hamas, yang telah berdepan serangan udara tanpa henti sejak insiden serangan tersebut.
Beliau juga dianggap sebagai seorang pejuang yang ditakuti oleh musuh-musuh Hamas, termasuk tentera Israel yang pernah memenjarakannya selama bertahun-tahun.
Yahya telah dilantik sebagai Ketua Utama Hamas pada 6 Ogos lalu, menggantikan bekas ketua politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran pada 31 Julai.
Sinwar, 62, yang dilahirkan di kem pelarian di Khan Younis, Gaza, telah dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017. Sepanjang hayatnya, Yahya sering menjadi sasaran utama Israel, yang berusaha membunuhnya sejak 7 Oktober 2023.
SUMBER: Awani