Covid19Semasa

Haji musim Covid-19 kini bermula

Dua tahun berturut Arab Saudi terima 60,000 jemaah

MAKKAH : Setiap tahun Arab Saudi menerima hampir 2.5 juta jemaah menunaikan rukun islam kelima, namun dua tahun berturut-turut hanya 60,000 jemaah sahaja diterima masuk terdiri daripada warga tempatan ekoran Covid-19 melanda.

Pada awal bulan lalu, Kementerian Haji Arab Saudi mengambil langkah pencegahan bagi memastikan kelancaran ibadah haji yang efisien dapat dicapai seperti haji musim pandemik pada tahun lalu.

Menurut Komander Pasukan Keselamatan Haji, Mejar Jeneral Zayed al-Tuwan, sebanyak 3,000 bas disediakan dan hanya 20 jemaah haji dibenarkan menaiki sebuah bas.

“Anggota keselamatan dan pekerja awam sentiasa mengawasi pergerakan jemaah, memastikan semua arahan kesihatan dipatuhi dan memberikan pertolongan segera.” katanya.

Jurucakap kementerian Haji dan Umrah, Hisham Saeed, mengatakan bahawa 6,000 jemaah setiap tiga jam dijangka memasuki Masjidil Haram untuk melakukan tawaf. Setelah setiap kumpulan selesai, proses pensterilan akan dilakukan untuk memastikan keselamatan maksimum.

Menurut rencana penyelenggaraan Haji tahun ini, jemaah haji berkumpul di empat lokasi masuk utama: Al-Taneem, Al-Shara’i, pusat pemeriksaan Kor dan zon keselamatan Al-Shumaisi.

Selain itu, pihak berkuasa turut menyediakan 25 laluan untuk tawaf dengan jarak 1.5 meter bagi memastikan para jemaah mematuhi peraturan penjarakkan fizikal.

Tingkat bawah dataran Kaabah disediakan untuk menampung sehingga 4,770 jemaah pada satu masa manakala 1,000 jemaah di aras dua dan 3,000 lagi di aras tiga.

Para jemaah juga dibahagikan mengikut kod warna iaitu merah, hitam, hijau dan kuning serta setiap kumpulan disediakan tempat penginapan dan bas secara berasingan.

Kebanyakan jemaah dilaporkan membawa payung susulan cuaca panas terik yang melanda dan setibanya jemaah di tanah suci, mereka melaksanakan tawaf selamat datang (tawaq Al-Qudum).

-ARAB NEWS

Diterjemah oleh : Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button