Semasa

Haiti dilanda gempa bumi, dua orang terkorban

PORT-AU-PRINCE : Haiti dilanda gempa bumi berukuran 5.3 magnitud dan beberapa siri gegaran kecil yang mengorbankan dua orang dan menyebabkan penduduk tempatan panik apabila paras air meningkat di jalan.

Menurut Kajian Geologi AS, gempa awal melanda berhampiran bandar Les Cayes, diikuti dengan gegaran susulan 4.4 dan 5.1 di kawasan yang sama, hanya enam bulan selepas gegaran besar di wilayah berkenaan yang telah mengorbankan lebih 2,000 orang.

Menurut pegawai perlindungan awam Haiti, seorang maut di Fond des Negres dan seorang lagi di Anse-a-Veau, dan 35 rumah rosak, serta jalan dan jambatan.

Seorang penduduk di Pestel di semenanjung selatan, Jean Robert Leger, berkata gempa itu memberi sedikit kesan.

“Di Pestel, tidak banyak kerosakan namun ada rumah berhampiran laut rosak dan runtuh,” katanya.

Kanak-kanak yang bertempiran lari keluar dari bangunan sekolah di Les Cayes dan “orang ramai ketakutan,” walaupun tiada kerosakan berlaku, menurut seorang penduduk.

Haiti dilanda gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter pada Ogos tahun lalu, yang memusnahkan puluhan ribu rumah, menyebabkan banyak keluarga tidur di luar dalam keadaan hujan lebat dan mendorong Perdana Menteri Ariel Henry untuk menangguhkan pilihan raya yang ditetapkan pada November.

Ekonomi Haiti yang bergelut dan masalah keselamatan oleh kumpulan samseng telah mencetuskan gelombang penghijrahan, dengan ramai yang mengembara dengan bot dengan harapan untuk sampai ke Amerika Syarikat.

-AGENSI

 

Related Articles

Back to top button