Ramadan adalah bulan yang paling dinantikan oleh setiap umat Islam.
Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda pada bulan ini, jadi tidak hairanlah sekiranya ramai yang menggunakan kesempatan ini untuk beribadat seperti membaca Al-Quran dan sebagainya.
Apa yang lebih bermakna pada bulan Ramadan adalah apabila adanya malam lailatul qadar, yang berada pada 10 malam terakhir Ramadan.
Fadilat dan ganjaran yang diperolehi mereka yang menemui malam istimewa ini sangat besar, justeru tidak hairanlah ramai yang berlumba mahu melakukan ibadah.
Namun bagaimana pula dengan wanita yang keuzuran atau kedatangan haid? Apakah alternatif lain yang boleh dilakukan bagi mengejar lailatul qadar ?
Seperti yang kita sedia maklum, wanita yang kedatangan haid dilarang oleh syariat untuk melakukan beberapa ibadat namun tidak bermakna langsung tidak berpeluang meraih pahala.
Menerusi satu posting di Facebook milik Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri Bin Zainul Abidin berkata, “menghidupkan Malam al-Qadar itu adalah dengan beribadah. Wanita haid masih boleh beribadah sekalipun tidak boleh solat.”
Antara yang boleh mereka lakukan adalah;
- Berdoa kepada Allah. Doa adalah ibadah.
Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud, “Doa itulah ibadah” (Kemudian Nabi s.a.w membaca firman Allaah daripada Surah Al-Gahfir ayat 60), maksudnya “Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepadaKU nescaya AKU memustajabkan untuk kamu” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dll. Hadis sahih).
2. Beristighfar
Istighfar iaitu memohon keampunan Allah mempunyai fadilat yang sangat besar. Begitu banyak dalil mengenai fadilatnya dalam al-Quran dan al-Sunnah. Wanita haid sama seperti orang lain digalakkan berdoa dan beristighfar.
Dalam hadis Nabi s.a.w menyebut, “Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun (dengan makna yang layak bagi keagungan-Nya) setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman:
“Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikannya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
3. Membaca pelbagai zikir seperti tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), tahlil (Lailahaillaallah), selawat dan pelbagai lagi.
Haid tidak menghalang mereka menghayati zikir-zikir ini.
4. Membaca Al-Quran
Wanita haid boleh membaca al-Quran merupakan pendapat dalam Mazhab Malik, riwayat qaul qadim Mazhab al-Syafii, salah satu qaul al-Imam Ahmad, Mazhab Zahiri, pendapat Ibn Jarir al-Tabari, pendapat ini yang ditarjih oleh al-Imam Ibn Taimiyyah, al-Imam Ibn Qayyim dan al-Imam al-Syaukani dan ramai tokoh tarjih yang lain termasuk al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi. Lajnah Fatwa Arab Saudi juga mentarjihkan pendapat ini.
Hujah dan alasan pihak yang membenarkan dilihat kukuh di segi dalil nas dan akal. Namun, majoriti ulama khususnya dari Mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali tidak membenarkan. Mereka juga mempunyai hujah dan alasan yang tersendiri. Kalangan mereka mengizinkan jika ada keperluan seperti untuk guru al-Quran dan pelajar yang memerlukan.
Bagi yang memilih pendapat yang membolehkan wanita haid membaca al-Quran, dia sewajarnya membaca dari ingatan atau daripada telefon bimbit atau skrin, tanpa menyentuh mashaf al-Quran. Adapun menyentuh mashaf al-Quran, kebanyakan ulama tidak membenarkan termasuk ulama yang membenarkan wanita haid membaca al-Quran juga tidak membenarkan mereka memegang mashaf.