Gudang penyimpanan barang elektrik terbakar
BUKIT MERTAJAM : Sebuah gudang penyimpanan barang elektrik Wah Lee di Jalan Rozhan, Bukit Mertajam, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.28 malam.
Tiga buah jentera dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, BBP Bandar Perda dan BBP Sungai Bakap bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan.
“Ketika tiba didapati kebakaran itu memusnahkan 70 peratus dengan anggaran keluasan 27.8 x 10 meter persegi gudang terbabit.
“Kerja pengawalan dan pemadaman api dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan,” ujarnya.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan.
Punca kebakaran dan jumlah kerosakan masih dalam siasatan.
Oleh Nurshazlin Shahrom