Seorang pakar pertahanan menolak dakwaan tentera Israel bahawa serangan hospital di Gaza yang mengorbankan lebih 500 orang, disebabkan oleh roket yang tersalah tembak dari pihak pejuang Palesin, menyifatkan ia tidak realistik dan menegaskan bahawa jika ia ditembak dari Gaza, Iron Dome Israel sepatutnya telah diaktifkan.
Murat Aslan, penyelidik kanan di Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi, dan Sosial [SETA] dan profesor bersekutu di Universiti Hasan Kalyoncu, memberitahu Agensi Anadolu dalam temu bual mengenai pengeboman Hospital Al Ahli Arab di Gaza pada petang Selasa.
Beliau berkata, sambil merujuk kepada pelbagai penilaian yang dibuat berhubung amunisi yang bertanggungjawab terhadap serangan itu, bahawa “dalam serangan yang mensasarkan kawasan berpenduduk, fius amunisi boleh dilengahkan untuk meletup 50-100 meter di atas tanah sebelum mengenai sasaran.”
“Ini meningkatkan kesan serangan. Melihat kepada kawasan yang terjejas akibat letupan dan kesan yang ditinggalkan di tanah selepas letupan dalam serangan ke atas Hospital Al Ahli Arab di Gaza, jelas peluru itu ditetapkan untuk meletup lebih awal di udara untuk kesan yang lebih besar. Ini bagi memastikan kesan yang lebih luas untuk letupan itu,” katanya.
Aslan berkata, “Jika roket dengan magnitud sedemikian yang boleh menyebabkan kerosakan yang begitu besar ditembakkan, sistem pertahanan udara Iron Dome [Israel] akan diaktifkan.”
“Adalah amat sukar bagi Jihad Islam [kumpulan penentang Palestin] untuk melaksanakan serangan yang tepat walaupun dari Tebing Barat [yang dijajah] tanpa dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel,” katanya.
“Jika kaliber roket itu kecil, mungkin kematian tidak sampai 500 orang.”
“Tambahan pula, memandangkan roket itu bukan guide missile dan mengikut trajektori yang landai, penurunan menegak ke hospital kelihatan tidak mungkin,” katanya.
Amunisi Howitzer tidak mungkin
Terdahulu pada hari Rabu, Kementerian Kesihatan Gaza menyemak semula angka mangsa, menyatakan hampir 500 orang terbunuh dan ratusan yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Al Ahli Arab di Gaza lewat Selasa.
Aslan juga menolak dakwaan Israel bahawa serangan itu disebabkan oleh “amunisi howitzer,” dengan berkata, “Kemungkinan ini tidak realistik kerana jarak.”
“Peluru howitzer tidak boleh mengakibatkan jumlah korban yang begitu tinggi,” katanya.
Beliau menekankan bahawa terdapat kemungkinan besar peluru yang digunakan dalam serangan itu dijatuhkan dari pesawat perang.
“Oleh itu, kemungkinan Israel menggunakan bom MK82, yang telah mereka gunakan sebelum ini dan boleh dipandu arahnya,” kata Aslan.
“Untuk memberikan kenyataan yang pasti, pemeriksaan serpihan peluru dan penyelidikan di kawasan itu adalah perlu. Bagaimanapun, keadaan semasa menyukarkan perkara ini.”
SUMBER: AA