Marrakesh – Orang awam mula bertindak sendiri bagi membantu mangsa di kawasan gempa di Maghribi.
Antaranya, Maria Boujdig yang tinggal di Agadir tetapi berasal dari Tafeghaghte, salah satu kampung yang paling teruk dilanda gempa di wilayah pergunungan Al Haouz, pusat gempa pada Jumaat lepas.
Dia memenuhkan keretanya dengan makanan dan memandu lebih 200 kilometer ke timur untuk mengagihkannya kepada penduduk kampung yang memerlukan selepas gempa yang memusnahkan itu.
Gempa itu membunuh dan mencederakan ribuan mangsa, dan meratakan seluruh kampung.
Berdepan dengan tahap kemusnahan, penjual insurans itu merasakan dia perlu bertindak.
“Saya mendapat panggilan daripada keluarga mengatakan mereka tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan,” kata Boujdig kepada AFP. “Jadi saya membelanjakan 10,000 dirham ($980) untuk makanan bagi membantu dengan cara saya sendiri.”
“Tragedi ini diburukkan lagi dengan keadaan mengerikan yang dihadapi oleh mangsa yang terselamat,” katanya.
Tafeghaghte terletak sekitar 60 kilometer dari pusat pelancongan Marrakesh dan hanya boleh diakses melalui jalan berdebu yang sempit.
Di sebuah gudang kecil yang terselamat daripada gempa bumi, tiga penduduk kampung menyimpan pek air, guni tepung, teh, makanan dalam tin dan kuih-muih yang dibawa oleh Boujdig dan dermawan yang datang ke kampung itu.
Salah seorang daripada mereka, Mohammed, kehilangan anak perempuannya yang berusia 16 tahun dalam tragedi itu.
“Dua puluh empat jam selepas ia berlaku, kami mengambil keputusan untuk bertindak sendiri kerana tiada orang lain membantu kami,” katanya.
“Kami memastikan bahawa semua orang mempunyai sesuatu untuk dimakan.”
Empat puluh lapan jam selepas bumi bergegar, penduduk kampung menghabiskan malam ketiga mereka di tempat terbuka.
“Kami tidur di atas tanah dalam kesejukan. Orang dewasa boleh mengatasinya, tetapi bukan kanak-kanak.” El Machmoum memberitahu AFP.
Bantuan rasmi telah sampai ke kampung Tikht, berhampiran Adassil sekitar 30 kilometer barat daya Tafeghaghte, di mana pihak berkuasa Maghribi mendirikan khemah kuning terang untuk mangsa gempa bumi.
Seorang sukarelawan, Mohamed Belkaid, memandu dari Marrakesh selepas mengisi keretanya dengan pek air untuk diedarkan di perkampungan di pergunungan.
“Saya mahu membantu mangsa yang terjejas akibat gempa bumi. Dalam perjalanan, ramai orang bertanyakan keadaan di Tafeghaghte, jadi saya mengambil keputusan untuk ke sana,” katanya.
“Semua orang mesti bertindak,” kata lelaki berusia 65 tahun itu.
Bantuan juga datang dari jauh, dari Al Hoceima di timur laut Maghribi di mana gempa bumi 2004 membunuh 628 orang.
Sekumpulan 13 orang memandu lebih 790 kilometer dari Al Hoceima dengan dua van dan dua kereta bagi membawa bantuan makanan ke perkampungan Al Haouz yang musnah.
“Kami melaluinya pada 2004, jadi adalah wajar untuk kami turun tangan membantu,” kata Ouael El Haj dari Beni Bouayach di wilayah Al-Hoceima kepada AFP.
Kumpulan itu membawa makanan ke kampung Sour Tahannaout, Moulay Br ahim dan Assif Imigdal.
Di pinggir bandar Marrakesh, barisan trak kecil beratur di luar pasar raya untuk diisi dengan 10 kilogram beg tepung, air, susu, jus buah dan makanan lain yang dibeli oleh penduduk dan dihantar dalam gerobak yang melimpah.
Kumpulan termasuk Draw A Smile dan Lions International telah pun turun padang untuk membantu mangsa di kampung yang musnah.
“Kami cuba melakukan yang terbaik, tetapi keperluannya sangat besar,” kata Ilias Ghassani, 20, setiausaha agung bahagian tempatan Lions International Red City.
SUMBER: AFP
Misi Bantuan Gempa Marakesh MAPIM
MAPIM MALAYSIA Melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan Gempa Marakesh dengan mensasarkan bantuan pelbagai di kawasan terjejas di Morocco.
Setakat laporan, angka kematian dan kecederaan masih meningkat serta merisaukan! Justeru Infaq serta bantuan sahabat peduli Ummah sangat dirayu serta diharapkan.
MASA UNTUK INFAQ & BANTU
Hulurkan sumbangan dan infaq tanda kita bersama membantu ringankan ujian mereka. Sumbangan akan diuruskan sendiri oleh pihak aktivitis MAPIM.
Infaq menerusi Tabung Kemanusiaan MAPIM
(Maybank 562263540066)
Atau klik link berikut —>>> https://www.mapim.org/rayuanmarakesh