PORT-AU-PRINCE : Perdana Menteri Ariel Henry mengiystiharkan darurat selama sebulan susulan kejadian gempa bumi kuat melanda barat daya Haiti sehingga meragut 304 nyawa.
Beberapa bangunan seperti gereja, hotel dan rumah runtuh dalam tragedi terbaharu yang melanda negara Carribean itu.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa bumi pada 7.2 pada skala Ritcher dirasai di bandar Petit Trou de Nippes kira-kira 150 kilometer barat ibu kota Port-au-Prince, pada kedalaman 10 kilometer.
Gempa bumi itu turut dirasai jauh sehingga ke Cuba dan Jamaica dan dipercayai lebih dalam berbanding gempa bumi berkekuatan 7.0 pada skala Richter yang mengorbankan puluhan ribu nyawa di negara termiskin Amerika 11 tahun lalu.
Insiden tersebut berlaku ketika sebahagian besar rakyat Haiti berdepan kebuluran dan perkhidmatan kesihatan dibanjiri pesakit Covid-19.
Sementara itu, bandar yang mengalami kerosakan besar ialah Les Cayes di mana banyak bangunan runtuh dan pihak berkuasa masih giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Di Les Cayes, penduduk tempatan berkata air membanjiri bandar itu dan menyebabkan panik akan berlakunya tsunami.
Media media Haiti melaporkan beberapa orang di sepanjang pantai telah melarikan diri ke pergunungan.
Sistem amaran tsunami Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tsunami setelah gempa namun ia ditarik balik tidak lama selepas itu.
Gempa itu terjadi hanya sebulan setelah pembunuhan presiden Jovenel Moise.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar