
Menteri Luar China, Wang Yi, menegaskan bahawa Gaza dan Tebing Barat yang diduduki “bukan cip tawar-menawar dalam pertukaran politik.” Beliau menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menegakkan penyelesaian dua negara sebagai jalan penyelesaian konflik Israel-Palestin.
“Gaza dan Tebing Barat adalah tanah air rakyat Palestin, bukan cip tawar-menawar dalam pertukaran politik. Rakyat Palestin yang mentadbir Palestin adalah prinsip penting yang mesti dipatuhi dalam tadbir urus Gaza pasca konflik,” kata Wang Yi dalam sidang Majlis Keselamatan PBB.
Penyataan ini disampaikan dalam konteks peningkatan ketegangan di wilayah tersebut, di mana China menyeru komuniti antarabangsa untuk memastikan hak rakyat Palestin dihormati dan dilindungi.
Sementara itu, tentera Israel dilaporkan telah merobohkan tujuh rumah milik penduduk Palestin di Tebing Barat. Tindakan ini berlaku di tengah-tengah peningkatan ketenteraan di wilayah yang diduduki itu.
Menurut saksi, pasukan tentera Israel yang diiringi jentolak tentera menyerbu bandar Kafr al-Dik, barat bandar Salfit, dan memusnahkan sebuah rumah penduduk Palestin kerana didakwa tidak memiliki permit bangunan.
Di kawasan Masafer Yatta, dekat Hebron di selatan Tebing Barat, enam lagi rumah telah dirobohkan atas alasan yang sama. Aktivis tempatan, Fuad al-Amour, menyatakan bahawa tindakan ini adalah sebahagian daripada tekanan berterusan terhadap penduduk Palestin di wilayah tersebut.
Kejadian ini menimbulkan kebimbangan antarabangsa mengenai hak penduduk Palestin dan kesan pendudukan Israel terhadap kehidupan harian mereka.
Sumber: TRTWorld dan agensi