Semasa

Mangsa banjir boleh dapat gantian dokumen penting secara percuma – JPJ

PUTRAJAYA : Mangsa banjir di seluruh negara boleh mendapatkan gantian dokumen penting seperti Lesen Memandu Malaysia, (LLM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC) secara percuma.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu hantaran di Facebook berkata inisiatif ‘touch point’ jabatan itu khusus untuk semua mangsa banjir di lokaliti terjejas yang mengalami kerosakan atau kehilangan dokumen berkenaan.

“Pemilik perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen dan hadir sendiri membawa dokumen yang rosak bagi mendapatkan gantian di mana-mana pejabat kaunter JPJ.

“Bagi yang kehilangan dokumen asal pula, mereka perlu membawa salinan laporan polis atau Borang Pendaftaran Mangsa Bencana yang dikeluarkan Pejabat Daerah atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai bukti,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, segi pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan, terhadap kenderaan perdagangan atau persendirian yang terlibat dilonggarkan dalam operasi menyelamat serta membawa bekalan untuk mangsa banjir, sehingga bencana itu terkawal sepenuhnya.

Menurut JPJ, kesiapsiagaan dalam menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga kerja serta aset ke lapangan adalah selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Pihak JPJ dan seluruh warga kerja mendoakan agar semua mangsa banjir diberi kekuatan dan dipermudahkan dalam segala urusan,” menurut kenyataan jabatan itu lagi.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button