KOTA KINABALU: Perkhidmatan dewan bedah Hospital Queen Elizabet (HQE) terpaksa ditutup sepanjang hari ini dan esok, berikutan gangguan bekalan elektrik sejak semalam dan masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya.
Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata bagi memastikan wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) mencukupi bekalan elektrik dan stabil, dewan bedah tersebut perlu ditutup.
“Sebanyak 28 pembedahan bukan kecemasan (elektif) yang dijadualkan hari ini terpaksa ditunda, manakala kes yang memerlukan pembedahan kecemasan pula akan dilakukan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
“Ketika ini, syarikat konsesi Sedafiat Sdn Bhd masih berusaha membaiki kabel elektrik yang rosak supaya bekalan elektrik pulih seperti sediakala.
“Pihak HQE dan Jabatan Kesihatan Sabah akan sentiasa mengemas kini status pembaikan bekalan elektrik serta perkhidmatan rawatan di HQE dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semua fasiliti di menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan perubatan lama hospital berkenaan mengalami gangguan bekalan elektrik sejak jam 11.54 pagi semalam.
Akibat gangguan itu, sebahagian pesakit terpaksa dipindahkan ke HQE II.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut membantu bagi mencari punca gangguan dan melakukan pemulihan bekalan elektrik , malah perkhidmatan sokongan hospital di HQE disediakan oleh Sedafiat.
SESB menyediakan dua set jana kuasa mudah alih bagi menampung keperluan bekalan elektrik di banggunan yang terjejas dan pemulihan bekalan elektrik dilakukan segera menggunakan dua set janakuasa sedia ada di HQE.
Bagaimanapun difahamkan, keadaan bekalan elektrik di hospital berkenaan belum lagi stabil, setakat ini.