Semasa

Gaji guru di Afghanistan dibayar oleh UNICEF

KABUL : Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan membayar gaji guru Afghanistan sekurang-kurangnya dua bulan, selepas berbulan-bulan tidak dibayar kerana krisis ekonomi yang dicetuskan oleh sekatan pentadbiran Taliban.

UNICEF dalam satu kenyataan semalam berkata Kesatuan Eropah (EU) akan membiayai pembayaran kira-kira AS$100 (RM417.95) sebulan dalam mata wang tempatan kepada 194,000 guru sekolah rendah dan menengah pada Januari dan Februari.

“Kami berbesar hati untuk memberikan bantuan kecemasan kepada guru sekolah awam di Afghanistan yang tidak berputus asa memastikan kanak-kanak belajar selepas ketidaktentuan dan kesukaran yang dihadapi oleh ramai pengajar sejak beberapa bulan lalu” kata wakil UNICEF Afghanistan Mohamed Ayoya.

Sejak Taliban mengambil alih kuasa negara pada Ogos tahun lalu, Afghanistan telah berada dalam keadaan krisis ekonomi apabila tentera asing berundur dari negara itu.

Pentadbiran baharu negara bergelut untuk membayar gaji ramai pekerja sektor awam termasuk guru kerana sekatan perbankan dan pengurangan bantuan pembangunan.

Diplomat berkata, masyarakat antarabangsa bertungkus-lumus mencari cara untuk berhubung dengan Taliban tanpa mengiktiraf secara rasmi pemerintahan mereka, dan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan sebagai tuntutan utama apabila berbincang dengan mereka.

Rancangan Taliban bagi pendidikan kanak-kanak perempuan tidak jelas, dengan masih ramai yang tidak dapat hadir ke sekolah menengah di sebahagian besar wilayah.

Bgaimanapun, kumpulan itu menyatakan bahawa ia sedang mengusahakan rancangan untuk membolehkan kanak-kanak perempuan kembali ke sekolah dan membuka universiti dengan kehadiran wanita bulan ini.

-AGENSI

Related Articles

Back to top button