Gajah betina ditemui mati di tepi jalan
PADANG TERAP : Seekor gajah betina ditemui mati di tepi Jalan Empangan Pedu, berdekatan Kampung Pinang, Pedu, pagi tadi.
Shazwan Ismail, 25, warga tempatan, mendakwa haiwan liar itu ditemui jiran yang keluar menoreh getah pada 7.30 pagi.
“Apabila saya sampai di tepi jalan, saya lihat gajah itu sudah mati dalam keadaan duduk dengan kesan darah dalam najisnya, berkemungkinan gajah itu telah mengambil racun atau baja taman.”
“Penduduk kampung sudah lebih sebulan melihat sekumpulan tujuh ekor gajah berkeliaran di kawasan kebun getah, ada kemungkinan gajah betina ini seekor kawanan haiwan liar berkenaan,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, agensinya mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada 8.30 pagi.
Beliau menyatakan bahawa kumpulannya masih meneliti keadaan dan punca kematian gajah itu perlu menunggu laporan berkaitan.
“Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan Kuala Lumpur akan ke lokasi untuk menyiasat punca kematian gajah ini.
“Saya perlu tunggu laporan mereka terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi.
-AGENSI