Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
SPM bukanlah pengakhiran untuk mereka yang bergelar pelajar. Kepada yang cemerlang dan mendapat peluang untuk menyambung pendidikan, maka mereka diharapkan untuk terus cemerlang di menara gading dan memanfaatkan ilmu demi pembangunan negara.
Kepada yang gagal pula, mereka hendaklah sedar dan mula bangkit untuk cemerlang di masa hadapan. SPM bukanlah kayu ukur bijak atau tidak seseorang itu, kerana kebijaksanaan itu adalah bagaimana seseorang itu mengurus kehidupannya di alam dewasa.
Terkini kerajaan mengalakkan para pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyertai pelbagai program keusahawanan yang telah disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menurut Menterinya, Tan Sri Noh Omar, KUSKOP sentiasa memberi peluang kepada mereka tanpa mengira latar belakang dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup selain memberi peluang menjana ekonomi.
“Belia di luar sana kena dekati KUSKOP kerana KUSKOP ada menyediakan pelbagai program untuk bantu usahawan dalam kalangan belia. Kalau kata belia hendak mula berniaga, tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiada tempat niaga, tiada lesen niaga pun, boleh mohon dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
“Ini kerana kita ada satu program iaitu Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di TEKUN, jadi kita akan bantu belia,” tambahnya
Noh Omar mengatakan demikian bagi mengulas kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang mendedahkan bahawa seramai 45,526 orang calon tidak layak mendapat sijil SPM kerana gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya sekali.
Beliau mengatakan kini lebih 400,000 orang individu termasuk belia telah mendapat latihan keusahawanan melalui 11 agensi di bawah KUSKOP dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.