Dengan air mata yang mengalir, Mohammed al Sabbagh, menjerit ke telefon bimbit, memohon anak saudaranya “kuat” yang ketika itu sedang berada di bawah runtuhan di Gaza yang terkepung.
Panggilan itu dibuat ketika permulaan pengalaman pahit selama tiga hari bagi gadis itu, Hala Hazem Hamada, 15 tahun, yang akhirnya diselamatkan pada Selasa selepas tentera israel membunuh enam saudaranya, termasuk ibu bapanya.
Kejadian darah bermula pada hari Sabtu apabila tentera israel menyerbu kompleks kediaman di mana keluarga Hala, yang berasal dari utara Gaza, telah mencari perlindungan di bandar selatan wilayah itu, Khan Younis.
Hala memberitahu agensi berita AFP bahawa askar telah menggunakan pembesar suara meminta penduduk keluar, tetapi sebelum dia dan keluarganya sempat berbuat demikian, “rumah itu mula runtuh menimpa kami”, diratakan oleh jentolak Israel.
“Penembak tepat mensasarkan semua orang dalam keluarga kecuali kakak dan saya,” katanya. “Kakak saya Basant memberitahu saya, ‘Saya takut, selamatkan saya. Saya tidak boleh bergerak. Runtuhan menimpa kaki saya, dan bapa juga di kaki saya. Saya tidak boleh bergerak’.”
Kemudian Basant terdiam, meninggalkan Hala sendirian menunggu berjam-jam sebelum dia diselamatkan.
Basant, 19, adalah antara enam yang maut.
‘Ayah saya berlumuran darah’
Semasa Hala menunggu, seorang wartawan AFP merakam Mohammed al Sabbagh yang memberi kata-kata sokongan melalui telefon.
“Kekal selamat dan kekal kuat. Jika ada sesuatu di sekeliling kau, makanlah untuk memastikan kau bertahan sehingga kami sampai kepada kau,” katanya.
“Saya bersumpah demi Tuhan, kami tidak tahu bagaimana untuk menghubungi kau… [tetapi] kami cuba menghubungi kau. Jangan risau, kami akan datang kepada kau.”
“Ayah saya berlumuran darah. Tadi dia bernafas, tapi sekarang tidak lagi,” katanya.
Pada hari Rabu, Hala menceritakan detik penyelamatannya, kepada AFP dari katil hospital di bandar paling selatan Rafah.
“Mereka mula mengalihkan serpihan dan memotong palang besi sehingga mereka menarik saya keluar. Apabila mereka menarik saya keluar, mereka meletakkan saya di atas pengusung,” katanya.
Walaupun dia tidak mengalami kecederaan besar, dia cuba untuk pulih secara fizikal selepas sekian lama tanpa makanan atau air, sementara juga bergelut dengan trauma dan kehilangan besar yang dia alami.
“Saya terselamat, tetapi saya mahu melihat keluarga saya buat kali terakhir,” katanya. “Saya nampak kakak dan ayah saya, tetapi mereka masih belum ditarik keluar. Mereka masih di bawah runtuhan. Saya mahu berjumpa mereka sekurang-kurangnya mengucapkan selamat tinggal.”
Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 30,717 orang, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan mencederakan 72,156 setakat ini dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang terkepung.
Perang Israel telah mendorong 85 peratus penduduk Gaza menjadi pelarian di tengah-tengah kekurangan akut makanan, air bersih, dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus daripada infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI