Covid19DuniaKemanusiaanPalestinSemasa
Trending

Foto Gambarkan Rakyat Palestin Dengan Ancaman Israel dan Corona

Pernahkah kita terbayang berada dalam kurungan bersama seekor singa dan dikelilingi duri beracun dalam masa yang sama? Jika tidak, itu bermakna anda berada dalam keadaan yang jauh selesa berbanding sesetengah orang.

Walaupun sukar untuk digambarkan, namun itulah situasi yang sedang dihadapi oleh lebih 5 juta warganegara Palestin yang tidak tekecuali dari mendapat ancaman pandemik COVID-19 di kala mereka terpaksa hidup dengan cengkaman rejim zionis Israel.

Kekejaman terus berlaku di Tebing Barat

Pertengahan Mac yang lalu, Masjid Al-Aqsa sudah mula ditutup sebagai langkah pencegahan jangkitan wabak virus corona daripada berlaku. Walau bagaimanapun orang awam masih dibenarkan untuk menunaikan solat di kawasan lapang di luar masjid. Setelah itu, penduduk tempatan telah diarahkan untuk tinggal di rumah masing-masing bagi mengelakkan kontak antara satu sama lain.

Ketika mana usaha dipertingkatkan oleh rakyat Palestin termasuklah dengan membina sebuah klinik khas bagi merawat pesakit COVID-19, rejim zionis bertindak biadap dengan meruntuhkan klinik terbabit Ahad lalu.

Tidak cukup dengan itu, rejim itu bertindak merampas bahan binaan seperti tiang khemah dan batu-bata yang digunakan untuk membina 8 buah khemah untuk klinik sementara itu.

Dalam satu perkongsian yang lain pula, Yayasan Al-Quds Malaysia membongkar situasi di dalam penjara Israel dengan lebih 5,000 tahanan Palestin menghadapi risiko dijangkiti COVID-19 yang tinggi apabila tiada langkah pencegahan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel seolah-olah nyawa mereka tiada nilai.

 

Saat genting tidak buat Gaza putus harapan

Pada 22 Mac 2020, dua kes pertama coronavirus disahkan di Semenanjung Gaza melibatkan individu yang datang dari Pakistan. Perkara itu disifatkan sebagai malapetaka ke atas penduduk di wilayah Palestin itu yang menempatkan lebih 2 juta orang di mana ramai yang tinggal di bandar-bandar sempit dan kem pelarian.

Ratusan warga Gaza telah pulang ke rumah dalam tempoh dua minggu tersebut, tetapi hanya 92 orang yang telah diperiksa akibat kemudahan yang sangat terhad. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih daripada 1,270 orang telah dikuarantin di hospital, hotel dan sekolah selepas menyeberang ke Gaza dari Israel dan Mesir.

Abdelnasser Soboh, pengarah pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia Gaza, berkata wilayah itu hanya mempunyai 62 ventilator, hanya 15 masih belum digunakan. Beliau menganggarkan wilayah memerlukan 50 hingga 100 lagi untuk menangani wabak.

Dengan keupayaannya sekarang, beliau menganggarkan hospital di Gaza boleh mengendalikan 100 kes pertama sekiranya ia datang secara beransur-ansur. Sekiranya berlaku jangkitan melebihi 100, sistem penjagaan kesihatan mereka dijangka akan terganggu.

Bagi menangani masalah fasiliti yang terhad, penduduk tempatan bertindak membina fasiliti khas dengan 1,000 bilik bagi tujuan kuarantin.

Walaupun dihimpit kesusahan akibat sekatan yang dikenakan oleh rejim Israel bertahun lamanya, penduduk Gaza dilihat tetap meneruskan kehidupan dengan semangat mereka yang tinggi untuk menghadapi ancaman virus corona dengan tabah.

Berbekalkan apa sahaja yang ada, rakyat Palestin membuktikan kesatuan hati dan kesabaran adalah kunci untuk menghadapi dugaan yang menimpa dengan sebaiknya dan mereka sewajarnya dijadikan teladan oleh rakyat di negara lain yang sama berjuang memerangi wabak COVID-19.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button