Semasa

Fitnah akhir zaman, isu video tular di makam Tok Kenali

KOTA BHARU: Cicit kepada Tok Kenali, Ustaz Muhammad Hafiz Hukmi Wardi menjelaskan rakaman video tular yang menunjukkan sekumpulan lelaki sedang berzikir beramai-ramai dengan kaedah luar daripada kebiasaan bukan ajaran ulama terkenal itu.

Beliau berkata, perkara tersebut juga tidak mempunyai kaitan dengan Pondok Tok Kenali termasuklah kerajaan negeri Kelantan.

“Saya mendapat maklum daripada orang yang merakam video itu mengatakan dia tidak mengetahui kumpulan itu datang dari mana. Cuma kalau tengok van…katanya van itu plat pendaftaran dari Thailand…jadi wallahualam daripada mana (datang dari tempat mana)“.

“Kubur Tok Kenali ni, dia sentiasa terbuka untuk siapa-siapa sahaja… 24 jam sentiasa terbuka”.

“Tengah malam pun ada yang datang, jadi muslimin dan muslimat segala amalan yang dibuat dalam video tadi tidak ada kena mengena langsung dengan ajaran Tok Kenali, dengan pondok Tok Kenali pun tak ada, dengan kerajaan negeri pun tak ada,” jelasnya menerusi satu video yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi Pondok Tok Kenali pada Selasa.

Menurut beliau, sebagai wakil keluarga Tok Kenali menasihatkan kepada orang ramai yang mahu mengunjungi kubur ulama terkenal itu supaya menjaga adab dan akhlak ketika berada di kawasan berkenaan.

Ujarnya, adab itu selari dengan apa yang diajar oleh alim ulama dengan caranya bersopan santun dah tidak berlebih-lebihan.

“Sebab ini akan menjadi fitnah kepada masyarakat kita sekarang. Jadi kalu boleh jaga khususnya orang perempuan minta tolong jangan masuk dalam pagar“.

“Orang lelaki pun jangan buat perbuatan ataupun amalan-amalan yang khilafiah, amalan-amalan yang di luar pada uruf takut ia menjadi fitnah pada masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, tular video memaparkan sekumpulan jemaah luar sedang berzikir di luar kebiasaan sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button